September 12, 2024

Musim jerebu kembali! 10 langkah-langkah untuk mengurangkan kesan ke atas kesihatan yang perlu diambil serius

Negara kita sekali lagi dilanda masalah jerebu. Ianya bukan lah perkara yang asing lagi kerana setiap tahun kita akan menghadapi masalah pencemaran udara ini akibat dari pembakaran terbuka yang di lakukan oleh negara jiran.

Sekiranya anda melayari  laman web ASEAN Specialised Meterorological Centre (ASMC), anda boleh lihat sendiri masih terdapat banyak titik panas (hotspots) di sebahagian kawasan di Indonesia.

Asap yang terhasil dari pembakaran terbuka ini merentas ke negara kita hingga terhasilnya jerebu. Menurut Jabatan Alam Sekitar, Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang direkodkan di beberapa buah kawasan di Malaysia telah mencatatkan bacaan yang tidak sihat dan semakin buruk sehingga ke hari ini. 

Daripada kita sibuk menunding jari, lebih baik kita ambil langkah untuk menjaga kesihatan diri. 10 langkah-langkah pencegahan untuk mengurangkan kesan ke atas kesihatan ini telah dikongsikan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia untuk kita amalkan bersama:

  1. Elakkan aktiviti fizikal di luar bangunan bagi mengurangkan pendedahan kepada jerebu. Aktiviti fizikal akan menyebabkan peningkatan kadar pernafasan dan keadaan ini boleh meningkatkan risiko penyakit akibat jerebu.

  2. Oleh itu selari dengan saranan di dalam Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan, penganjuran melibatkan aktiviti fizikal di luar bangunan dinasihatkan supaya ditangguhkan apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 100.

  3. Banyakkan berada berada di dalam bangunan (indoor) dan jika terpaksa berada di luar, gunakan penutup hidung dan mulut (face mask) yang sesuai.

  4. Tutup tingkap bagi mengurangkan asap jerebu masuk ke dalam rumah atau bangunan.

  5. Elakkan aktiviti yang boleh meningkatkan pencemaran udara dalam rumah atau bangunan dengan tidak merokok dan sentiasa membersihkan persekitaran dalaman.

  6. Gunakan pendingin hawa dengan memilih operasi (mode) kitaran udara dalaman semasa memandu kenderaan;

  7. Banyakkan minum air kosong walaupun tidak terasa dahaga (sekurang-kurangnya 8 gelas sehari).

  8. Jika mampu pasanglah alat pendingin hawa dan penapis udara (air filter/purifier) yang berkecekapan tinggi di rumah bagi menapis partikel halus dan menghalang kemasukan pencemaran udara dari luar; dan

  9. Sentiasa awasi kesihatan anak-anak kecil dan mereka yang mengidap penyakit respiratori dan jantung kerana mereka lebih mudah terjejas akibat pendedahan kepada jerebu.

  10. Dapatkan rawatan di fasiliti kesihatan terdekat sekiranya tidak sihat.

Pihak KKM turut menasihatkan supaya sentiasa peka dan mengikuti perkembangan semasa keadaan jerebu di negara kita. Ini adalah untuk memastikan keadaan kesihatan sentiasa terjaga dan dapat menjalani rutin harian dengan normal.

Anda juga boleh dapatkan maklumat terkini tentang keadaan jerebu negara melalui laman web Jabatan Alam Sekitar di sini.

Sumber : Kementerian Kesihatan Malaysia
Sumber Gambar: Selangor Kini

Shahrul Reza

Seorang Safety and Health Professional yang ingin berkongsi sedikit sebanyak ilmu pengetahuan tentang OSH, motivasi diri dan buah fikiran yang boleh memberi manfaat kepada semua pembaca.

View all posts by Shahrul Reza →

Anda dapat sesuatu? Tinggalkan komen anda disini