Bulan September 2019 yang lepas, saya menghadiri satu seminar yang diadakan di Kota Kinabalu. Tajuk seminar adalah seperti yang saya nyatakan di atas.
Sebelum saya mulakan, untuk pengetahuan anda, MBAM itu ialah Master Builders Association Malaysia.
Kalau nak diikutkan, sudah lama saya hendak berkongsi tentang apa yang saya alami dan pelajari dalam seminar ini tetapi maklumlah atas kekangan masa bekerja dan mengurus urusan harian, baru sekarang berkesempatan untuk berkongsi serba sedikit.
Ini pun posting yang pertama saya tentang perjalan hidup (My Journey) dan kerjaya saya.
Tapi bak kata orang “Better late than never”.. betul kan?
Alhamdulillah, ini adalah seminar pertama yang saya hadiri untuk saya belajar dan dalam masa yang sama, mengumpul mata CEP (Continous Education Point) selepas saya memperoleh OYKSHO (Orang yang kompeten – Safety & Health Officer) pada tahun ini. Sebanyak 15 mata diberikan kepada yang berjaya hadir untuk seminar yang berjalan selama 2 hari ini.
Sebenarnya seminar ini lebih kepada industri pembinaan tapi apa salahnya kalau saya hadir untuk menimba ilmu.
Ilmu safety ini luas! Semua boleh belajar dan aplikasinya mengikut kesesuaian operasi syarikat.
Mula-mula biasalah agak pelik sikit rasanya bila orang dari industri oil and gas masuk kelas untuk pembinaan. Macam-macam “term” atau ayat-ayat yang biasa digunapakai dalam pembinaan buatkan saya agak “blur”.
Macam Alien dibuatnya! Tapi tak apa, sebab nak belajar punya pasal, kita jangan malu.
Alhamdulillah dari seminar ini, dapat juga saya berkenalan dengan rakan-rakan baru dan tak kurang juga jumpa rakan lama.
DAY 1
Hari pertama sahaja, banyak topik-topik yang disampaikan oleh penceramah-penceramah yang hebat dan berpengalaman dalam bidang kerjaya masing-masing. Ini adalah topik-topik yang dikongsikan:
1. “OSHCIM Guidelines 2017 : Stakeholders’ Roles & Responsibilities” oleh Jabatan Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Malaysia
2. “CIDB’s Role in Promoting Safe Construction Work and Culture in Construction Industry” oleh Emasria Ismail, CIDB Malaysia
3. “Sharing of Best Practices on Precast Safety” oleh En. Kamarul Faezai Bin Salim, HSE Manager, Setia Precast Sdn Bhd
4. “Sharing of Best Practices on Working above the Live Traffic” oleh Hj. Noryani Md.Nor, Trans ResourcesCorporation Sdn. Bhd.
Untuk topik pertama, iaitu OSHCIM yang disampaikan oleh pihak JKKP, ini adalah perkara baru yang saya dapat dalam bidang keselamatan pekerjaan. Mungkin tidak baru bagi anda yang bekerja di bidang pembinaan
Apa itu OSHCIM? – Occupational Safety and Health in Construction Industry (Management) (OSHCIM)
OSHCIM adalah satu panduan untuk menguruskan keselamatan, kesihatan & kebajikan kepada Klien, Designer dan Kontraktor yang terlibat di dalam suatu projek pembinaan.
Apa yang saya faham, ia adalah satu initiatif dari pihak JKKP untuk mengenal pasti bahaya dari peringkat awal lagi (peringkat perancangan & design) bagi sesuatu projek pembinaan.
Hazard dari setiap sudut sesuatu projek pembinaan dapat dikenalpasti dan setiap risiko boleh dicegah. Pengenalpastian hazard dan risiko ini merangkumi dari fasa perancangan projek sehingga ke fasa setelah siapnya projek dan digunakan oleh pengguna.
Nak tahu lebih lanjut tentang OSHCIM? Anda boleh layari terus ke laman web JKKP
Perkongsian kedua dari wakil CIDB tidak kurang hebatnya. Dari segi “content”, memang banyak yang dipelajari tetapi apa yang menarik perhatian saya ialah statistik kemalangan dan kematian di dalam negara kita berbanding dengan negara lain.
Tahun 2018 sahaja, sektor pembinaan telah mencatatkan bilangan kemalangan maut yang paling tinggi berbanding dengan sektor-sektor pekerjaan yang lain. Jika anda lihat sahaja dari graf tersebut, kadar kematian bagi sektor pembinaan sahaja mencecah 13.44 iaitu lebih kurang 13 kematian akan berlaku dari setiap 10,000 orang pekerja yang bekerja di sektor yang sama.
Bagaimana pula dengan negara kita berbanding dengan negara lain?
Dari statistik di atas, anda boleh menilai sendiri dimana tahap kesedaran keselamatan pekerjaan di negara kita.
Negara lain bukan tidak ada kemalangan yang menyebabkan kematian cuma ia kadarnya “maintain” setiap tahun dan sebaliknya pada negara kita Malaysia yang setiap tahun meningkat.
Melihat dari statistik ini, timbul persoalan yang merungsingkan saya. Adakah tiada tindakan apa-apa yang dilakukan untuk cegah dari perkara ini dari terus berlaku?
Saya tidak menafikan yang tidak mungkin tiada sebarang usaha pun dilakukan, malah sama ada pihak kerajaan atau swasta semua sedang berusaha keras untuk meningkatkan kesedaran majikan dan pekerja mengenai keselamatan & kesihatan pekerjaan di tapak kerja masing-masing.
Mungkin semasa saya menulis artikel ini, sudah ada initiatif atau langkah yang sedang dirangka atau telah dijalankan.
Sekarang, persoalannya, dimana statistik oil and gas?
Kebiasaannya, statistik bagi oil & gas akan direkodkan dalam syarikat-syarikat operator oil & gas utama seperti Petronas, Shell, Exxon dan lain-lain. Ini kerana, bagi syarikat oil & gas, mereka mempunyai “self-regulation” yang lebih spesifik dan bersesuaian dengan industri tersebut. Jadi segala pengurusan tentang Keselamatan & Kesihatan pekerjaan adalah dibawah penyeliaan sistem syarikat tersebut.
Saya sendiri tidak ada statistik tahunan bagi keseluruhan oil & gas. Jika ada nanti, Ins Sha Allah saya akan kongsikan di dalam artikel yang lain.
Tetapi, untuk Malaysia, apa sahaja kejadian yang berlaku di pelantar offshore mahupun di loji pemprosesan (process plant) di darat, tetap perlu di laporkan kepada pihak JKKP.
Selain itu, term terbaru yang saya dapat belajar dari seminar ini ialah SHASSIC atau Safety And Health Assessment System in Construction.
Kalau nak diikutkan juga, SHASSIC ini tidak terguna pun dalam industri oil & gas, mungkin ada sebahagian maklumat tentang SHASSIC ini boleh diadaptasikan di dalam industri oil & gas.
Saya tidak boleh menerangkan terlalu terperinci tentang SHASSIC ini kerana saya bukan pakar dan tidak ada pengalaman dalam industri pembinaan. Melalui seminar ini juga, ianya adalah satu pengenalan ilmu baru untuk saya.
Jika anda ingin tahu lebih lanjut tentang SHASSIC, anda boleh layari laman web CIDB.
Perkara yang saya agak kagum dengan industri pembinaan ini ialah cabaran yang perlu dihadapi apabila tapak kerja mereka berada di tengah-tengah jalan raya yang sangat sibuk.
Saya turut kagum tentang bagaimana mereka melaksanakan langkah kawalan supaya bukan sahaja dapat mengelakkan kemalangan pada pekerja mereka sendiri, malah pada orang ramai yang berada di persekitaran luar tapak kerja.
Berbanding dengan oil & gas yang biasanya banyak terlibat dengan kerja-kerja pembinaan di tengah laut (offshore). Tiada orang awam atau laluan kereta yang perlu diambil kira dalam langkah kawalan.
Mungkin anda lihat bekerja di offshore itu mudah kerana tiada perlu susah-susah nak fikirkan keselamatan orang awam, tetapi risiko bekerja di tengah lautan adalah sangat tinggi dan sebab itu juga, langkah kawalan untuk mencegah kemalangan perlu diambil secara terperinci.
Pendek kata, mana-mana tempat kita bekerja, keselamatan semua amat diutamakan.
Berbalik pada kerja pembinaan di tengah jalan raya tadi, cuba anda bayangkan jika anda sedang memandu di laluan yang mempunyai tapak pembinaan berhampiran. Tiba-tiba barang dari atas terjatuh dan terkena pada kereta anda atau lebih teruk terkena tepat pada anda yang berada di dalam kereta.
Saya sendiri tidak dapat bayangkan keadaan saya jika berada dalam situasi tersebut.
Ini pentingnya keutamaan keselamatan di tempat kerja. Bagi sektor pembinaan, keselamatan bukanlah pada pekerjanya sahaja, malah pada orang awam juga.
DAY 2
Untuk hari kedua, workshop tentang pencegahan bahaya jatuh dari tempat tinggi, yang di kendalikan oleh speaker yang berpengalaman dalam bidang OSH, Major (R) Leong Yee Keong.
Dalam workshop ini, semua peserta diberi tugasan untuk membincangkan beberapa “case study” insiden dalam industri pembinaan yang pernah berlaku. Semua “case study” tersebut berkenaan dengan jatuh dari tempat tinggi.
Setiap peserta akan membuat kumpulan masing-masing dan membincangkan topik “case study” yang diberikan dan di akhir perbincangan setiap kumpulan perlu membentangkan perbincangan tersebut.
Maaf tiada gambar pembentangan dari kumpulan saya sebab tiada siapa yang saya minta tolong untuk ambilkan gambar.
Kemudian, kami didedahkan dengan bagaimana Revolusi Industri 4.0 akan merubah skop OSH dalam setiap industri pekerjaan.
Topik ini sangat menarik bagi saya, kerana ia memberikan banyak idea tentang peluang-peluang perniagaan atau pekerjaan pada masa hadapan. Banyak teknologi terbaru yang sudah ada di pasaran seperti penggunaan dron, jam pintar, “Virtual Reality” dan lain-lain yang bakal diadaptasikan dalam industri. Sekaligus, dapat mengurangkan risiko bahaya kepada manusia.
Di akhir seminar ini, perkara yang paling menggembirakan pada semua SHO yang hadir ialah dapat membawa pulang segulung sijil yang mempunyai mata CEP yang dapat dikumpulkan untuk proses pembaharuan OYKSHO.
Dan paling penting bagi saya, adalah pengalaman dan ilmu yang saya dapat sepanjang seminar ini dijalankan. Ins Sha Allah, banyak idea-idea yang saya ilhamkan untuk diadaptasikan dalam pekerjaan saya sekarang.
Sampai sini sahaja perkongsian pengalaman saya tentang seminar ini. Ins Sha Allah, ada beberapa lagi yang saya akan kongsikan kepada anda semua.
P/S: Ini pertama kali saya mulakan blog saya. Mohon kritikan membina sekiranya ada kekurangan.