December 12, 2024
tip lulus exam sho

7 Tip Ringkas Sebagai Panduan Untuk Lulus Peperiksaan SHO

Setiap kali tibanya masa untuk menduduki peperiksaan SHO, pastinya bakal-bakal SHO ini tercari-cari tip atau formula bagaimana untuk lulus peperiksaan SHO.

Mana tak nya, peperiksaan ini juga lah yang akan menentukan hala tuju nasib kerjaya dan kehidupan bagi setiap bakal SHO.

Siapa tak nervous bila nak hadapi peperiksaan SHO?

Saya sendiri pun pernah mengalami situasi yang sama sebelum ini.

Cuba anda tanya juga senior-senior yang pernah menduduki peperiksaan SHO, mereka pun pernah melalui proses yang sama.

Oleh itu,

Bagi mengurangkan sedikit nervous anda:

Di sini saya kongsikan 7 tip ringkas sebagai panduan anda, bakal SHO yang akan menghadapi peperiksaan SHO nanti.

Tetapi sebelum itu,

DISCLAIMER:

Tip-tip ini tidak menjanjikan anda akan lulus peperiksaan 100%. Ianya untuk dijadikan sebagai panduan dan rujukan untuk membantu anda. Sebahagian keputusan peperiksaan tersebut adalah bergantung kepada usaha anda sendiri dan pemeriksa yang menilai kertas peperiksaan tersebut.

Tip-tip ini adalah hasil pengumpulan maklumat dari apa yang pernah saya amalkan sebelum ini, dari pembacaan sumber-sumber yang boleh dipercayai dan perkongsian dari rakan-rakan SHO lain.

Anda sudah bersedia?

Jom! ikut tip-tip yang saya kongsikan ini:


1. Daftar Peperiksaan SHO secepat mungkin

Buat apa nak tangguh-tangguh kalau anda boleh habiskan dan lulus peperiksaan SHO dengan lebih cepat.

Lagi cepat anda daftarkan diri untuk peperiksaan SHO kan lagi mudah untuk anda ingat apa yang telah dipelajari semasa kursus.

Tak perlulah anda membelek buku-buku kursus SHO banyak kali. Bila ilmu itu masih FRESH dalam otak, anda sendiri boleh ingat di mana point-point penting yang perlu di fokus kan. Buku-buku boleh dijadikan sebagai panduan atau rujukan sahaja.

Guna kelebihan ilmu fresh itu untuk menjawab kertas peperiksaan SHO dengan tenang.

Nasihat saya:

Habis sahaja anda menjalani kursus SHO, anda terus daftarkan diri untuk tarikh peperiksaan yang paling hampir.


2. Fokus untuk menduduki kertas 1,2 & 3 terlebih dahulu

Saya pasti, anda semua yang mengambil kursus SHO mesti pernah dengar pelbagai cerita tentang kertas 4.

Usah diganggu dengan cerita-cerita mengenai kertas 4 tersebut sampai boleh menyebabkan anda sendiri tidak yakin untuk menduduki dan lulus peperiksaan SHO!

Alihkan fokus anda untuk menduduki dan menjawab kertas 1,2 dan 3 terlebih dahulu.

Struktur menjawab kertas 1,2 & 3 adalah lebih kurang sama seperti anda menjawab kertas peperiksaan semasa di sekolah. Ada soalan objektif (pelbagai pilihan jawapan) dan subjektif (penulisan pendek).

Pasti anda sudah biasa dengan situasi tersebut dan boleh menjawab ketiga-tiga kertas peperiksaan ini dengan yakin.

Sekali lagi saya ingatkan,

Jangan terlalu fikirkan atau fokus untuk menjawab kertas 4 itu dahulu!

Di dalam artikel saya tentang peperiksaan SHO sebelum ini, telah saya jelaskan yang anda mempunyai masa 2 tahun untuk jawab dan lulus kesemua kertas peperiksaan SHO bermula dari tarikh pertama anda mendaftar peperiksaan SHO.

Untuk kertas 4, anda boleh jawab pada bila-bila masa sahaja. Format kertas 4 pun memang memerlukan masa untuk anda siapkan.

Fokus selesaikan yang mudah terlebih dahulu. Kemudian baru yang susah.


3. Buat latih tubi dengan menjawab soalan-soalan peperiksaan yang lepas

Tambahkan keyakinan anda untuk lulus peperiksaan SHO bagi kertas 1,2 dan 3 dengan membuat latih tubi soalan-soalan yang lepas.

Secara asas, soalan-soalan bagi peperiksaan SHO tidak banyak berubah.

Kebanyakkan soalan pun semuanya berdasarkan situasi sebenar di dalam industri, akta dan modul-modul yang dipelajari semasa kursus SHO.

Dalam erti kata mudah, apa yang anda belajar di dalam kursus itu, hampir kesemuanya akan keluar di dalam kertas 1,2 dan 3.

Di mana anda boleh dapatkan soalan-soalan peperiksaan SHO yang lepas?

Ini antara sumber yang anda boleh cuba untuk dapatkannya:

  • Minta dengan trainer NIOSH yang mengajar kursus SHO
  • Senior SHO di dalam syarikat anda bekerja
  • Rakan-rakan yang mengambil kursus SHO bersama
  • Group-group di media sosial yang berkaitan dengan OSH
  • Internet – Carian google

Sumber yang terakhir sekali dan boleh dikatakan mudah…

Anda boleh dapatkannya dari saya.

Saya mempunyai bank soalan-soalan peperiksaan SHO yang lepas dan jika anda mahu saya kongsikan kepada anda, ada pengerasnya…

Pengerasnya mudah sahaja,

  1. Follow saya di Facebook atau Instagram.
  2. Berhubung dengan saya di dalam page tersebut dan saya akan berikan file-file yang berkenaan kepada anda.

4. Hadirkan diri dalam workshop peperiksaan SHO

Salah satu cara untuk anda boleh mendapatkan maklumat dan keyakinan untuk lulus peperiksaan SHO ialah dengan menghadiri workshop peperiksaan SHO.

Workshop ini diadakan setelah selesai sahaja anda belajar kesemua modul di dalam kursus SHO. Tiada kos tambahan dikenakan untuk menghadiri workshop ini.

Di dalam workshop ini, anda akan di dedahkan dengan situasi peperiksaan sebenar dan biasanya, trainer juga akan berkongsi beberapa panduan untuk menjawab peperiksaan SHO.

Tanyalah seberapa banyak soalan tentang peperiksaan SHO kerana inilah peluang terakhir untuk anda dapatkan seberapa banyak maklumat untuk bina keyakinan anda semasa mengahadapi peperiksaan sebenar nanti.

Asal jangan tanya tentang soalan bocor sudah lah… trainer anda pun tidak tahu soalan apa yang akan keluar nanti.


5. Ulang kaji semua modul kursus SHO. Jangan memilih!

Jika anda berpendapat untuk fokus hanya untuk bahagian-bahagian tertentu sahaja bagi setiap modul kursus SHO.

Anda silap! Jangan cuba-cuba untuk memilih!

Dikhuatiri apa yang anda fokus itu tidak masuk dalam soalan peperiksaan. Bukan kah naya diri sendiri tu…

Walaupun pembelajaran kursus SHO ini nampak mudah difahami dan lebih kepada asas, tetapi ia tidak bermakna anda boleh ambil ringan setiap apa yang dipelajari.

“Jangan fikir soalan-soalan yang keluar nanti sangat umum dan straightforward!”

Soalan-soalan yang ditanya pasti memerlukan anda untuk berfikir lebih sedikit.

Sebab itu, jika anda lihat soalan-soalan peperiksaan sekolah pun memerlukan anda untuk berfikir secara kritikal.

Nasihat saya:

Anda baca dan fahamkan semua apa yang telah dipelajari bagi setiap modul dalam kursus SHO.


6. Tidak perlu hafal semua akta-akta Keselamatan Kesihatan Pekerjaan.

Anda tidak perlu pun menghafal bulat-bulat apa yang ada di dalam akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH & FMA). Melainkan anda memang mempunyai memori yang cekap dan sangat kuat untuk mengingat semua yang ada di dalam akta.

Bagi saya, cukup sekadar anda fahamkan dan tahu dimana untuk mencari keperluan akta tersebut di dalam buku akta (OSH & FMA).

Sebagai panduan, anda boleh fokus kepada akta-akta yang biasanya akan ditanya seperti:

  • Kewajipan am majikan terhadap pekerja
  • Kewajipan am pekerja
  • Organisasi keselamatan dan kesihatan
  • Tanggungjawab SHO
  • Pemberitahuan mengenai kemalangan, keracunan dan penyakit di tempat kerja

Soalan-soalan mengenai akta-akta yang senaraikan diatas ini adalah soalan popular yang akan ditanya oleh panel pemeriksa di dalam pembentangan kertas 4.

Jadi untuk kertas 1,2 & 3 anda tidak perlu risau sangat. Cukup sekadar anda boleh faham soalan dan boleh kaitkannya dengan akta yang berkenaan.

Anda perlu tahu juga:

Apa yang saya senaraikan itu, tidak semestinya itu yang akan keluar. Ianya bergantung kepada bahagian peperiksaan NIOSH yang membuat kertas soalan dan juga pemeriksa yang akan bertanya.

Jangan pula kata apa yang saya senaraikan, itu yang akan keluar bulat-bulat!

Sebaiknya, baca semua kandungan akta-akta dan fahamkan. Tidak perlu paksa diri untuk menghafal satu buku akta OSH dan FMA.


7. Berdoa dan tawakkal

Anda sudah berusaha sebaiknya untuk menghadapi peperiksaan SHO.

Jangan lupa pula untuk berdoa dan bertawakkal kepada yang Maha Esa.

Jika saya akan menghadapi apa-apa sahaja ujian atau peperiksaan, ini adalah perkara yang saya sentiasa amalkan.

Anda hanya perlu buat bahagian anda iaitu, belajar, fahamkan, dan jawab soalan peperiksaan SHO. Selebihnya anda berserah kepada Tuhan untuk menentukan.

Yakinlah, jika anda letak kepercayaan anda kepada yang Maha Pemberi Rezeki, In Sha Allah pasti yang terbaik juga akan diperolehi.


Secara kesimpulan:

Untuk peperiksaan SHO, saya boleh katakan ianya tidak lah mudah mahupun susah. Ianya bergantung kepada diri anda sendiri.

Ramai yang gagal dan ramai juga yang lulus. Tetapi, peratusan yang lulus itu lebih banyak berbanding yang gagal.

Bagi saya, jika anda betul-betul inginkan kerjaya dalam bidang OSH, berusahalah bersungguh-sungguh dan lakukan yang terbaik.

Semoga 7 tip ringkas untuk lulus peperiksaan SHO ini dapat memberikan manfaat dan membantu bina keyakinan anda untuk lulus.

Saya juga mendoakan anda semoga dipermudahkan untuk anda semua menjawab soalan-soalan peperiksaan SHO nanti.

Kredit Foto : Ben White di Unsplash

Shahrul Reza

Seorang Safety and Health Professional yang ingin berkongsi sedikit sebanyak ilmu pengetahuan tentang OSH, motivasi diri dan buah fikiran yang boleh memberi manfaat kepada semua pembaca.

View all posts by Shahrul Reza →

Anda dapat sesuatu? Tinggalkan komen anda disini