March 24, 2025
flight dari Sabah pulang ke Semenanjung

Hijrah Pulang Ke Semenanjung

Alhamdulillah syukur, semasa saya menulis posting kali ini, saya sudah pun berhijrah pulang ke Semenanjung.

Hampir sebulan saya dan keluarga sudah berada di Semenanjung untuk meneruskan perjalanan kehidupan.

Tetapi, sebelum saya mulakan perkongsian saya kali ini,

saya ingin memohon maaf sekiranya anda menunggu posting atau artikel yang baru dari saya.

Ya memang betul…

Agak lama juga saya sudah tidak update apa-apa di blog ini.

Ini disebabkan:

  1. Pada bulan Ogos yang lepas, saya agak sibuk dengan tugasan kerja. Saya perlu fokus sepenuhnya pada satu projek yang sedang berjalan pada bulan itu.
  2. Bulan September pula, saya alih fokus kepada mengemas rumah untuk berpindah semula ke Semenanjung.

Seperti sedia maklum,

sebelum ini memang saya bertugas di Sabah. Hampir 3 tahun saya bertugas di Negeri di Bawah Bayu semenjak November 2016.

Nak dijadikan cerita,

Pada Jun 2020 yang lepas (pada masa itu PKP di seluruh Malaysia),

saya telah mengambil satu keputusan agak drastik yang kalau nak difikirkan, memang gamble sahaja!

“Keputusan apa yang boleh sampai main gamble sahaja ni?”

Keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai HSE Lead di syarikat tempat saya bekerja.

“Biar betul! Ramai orang hilang pekerjaan, ketika seluruh dunia dalam keadaan tidak berapa stabil disebabkan COVID-19, boleh pula letak jawatan?”

Ya, saya ada sebab tersendiri kenapa saya buat keputusan tersebut…


Keselamatan dan kesihatan keluarga saya adalah lebih utama

“Tidak ada apa yang lebih penting melainkan melihat keluarga sentiasa selamat dari segala ancaman”

Dalam situasi sekarang, keselamatan keluarga saya adalah lebih penting.

Anda sendiri tahu, keadaan COVID-19 di Sabah pada ketika ini bukan?

Lihat jumlah kes COVID-19 di Sabah sekarang:

Kementerian Kesihatan Malaysia - Kes COVID-19 di Sabah mengikut daerah pada 19 Oktober 2020
Sumber: Instagram Kementerian Kesihatan Malaysia – Kes Covid-19 di Sabah 19 Oktober 2020.

Kes penularan COVID-19 semakin hari semakin bertambah. Ini membuatkan saya sekeluarga menjadi lebih risau sekiranya masih menetap lagi di Sabah.

Mana tidak, banyak perkara yang bermain di fikiran:

  • Bimbang jika salah seorang dari kami yang terjangkit dengan COVID-19. Bagaimana hendak diurus sedangkan hanya kami berempat sahaja di Sabah. Kami tiada saudara-mara terdekat di Sabah untuk minta bantuan.
  • Kesian pada anak-anak dan isteri yang terpaksa melalui proses saringan setiap kali hendak berulang alik ke Semenanjung atau Sabah. Sudah lah letih 2 jam di dalam flight, menunggu lagi untuk saringan!
  • Ini menyebabkan kekerapan untuk kami balik ke Semenanjung menjadi semakin berkurang. Keluarga kami di Semenanjung pasti menjadi lebih risau.
Ini lah suasana di airport Kota Kinabalu sebelum dibenarkan masuk.
Menunggu giliran untuk disaring sebelum dibenarkan untuk masuk ke pemeriksaan imigresen.

Gambar di atas ini saya rakamkan ketika kembali ke Sabah dari Semenanjung selepas PKP yang pertama di tamatkan – Masa ni, punya lah gembira bila diumumkan oleh kerajaan boleh rentas negeri.

Cuba bayangkan, anda perlu lalui ini semua setiap kali keluar masuk Sabah. Ini belum lagi kena Swab Test!

Sekiranya anda berada dalam situasi saya, anda pasti akan buat keputusan yang sama, betul?

Ya, walaupun saya terpaksa ambil risiko dengan berhenti kerja. Namun, keputusan yang saya buat ini adalah untuk kebaikan saya dan keluarga bersama.


Ibu bapa bimbang keadaan kami sekeluarga di Sabah

Salah satu sebab yang mendorong kuat untuk saya buat keputusan tersebut ialah kedua ibu bapa yang berada di Semenanjung.

Yalah, ibu bapa mana tak risaukan anaknya walaupun anak-anaknya dah dewasa. Mereka tetap mengambil berat tentang kita.

Semasa PKP yang lepas, Ibu saya menelefon saya untuk bertanya khabar keadaan kami sekeluarga di Sabah. Alhamdulillah, pada masa itu, penularan COVID-19 di Sabah tidak seteruk sekarang.

Melalui perbualan telefon itu juga, terdengar suara kerisauan dan sedikit tangisan sambil meminta kami semua balik.

Allah! hati anak mana yang tak lemah bila ibu dah merayu begitu.

Tambahan lagi,

Bapa mentua pun selalu suarakan kerisauan setiap kali kami balik kampung.

Dengan dorongan-dorongan ini lah, kami sekeluarga kuat untuk mengambil keputusan untuk pindah semula ke Semenanjung.

Bagi saya dan isteri, memang berat untuk buat keputusan tersebut tetapi hati kami juga runsing memikirkan ibu bapa di Semenanjung yang risaukan keadaan kami.

Alhamdulillah, bila sudah berada di sini (Semenanjung)

nampak sinar kelegaan mereka apabila kami semua sudah pulang.

“Syukur sangat-sangat bila korang semua dah balik”

Ini lah ucapan yang sering diulang-ulang setiap kali mendengar kes harian di Sabah yang semakin hari semakin meningkat.

Bila mereka semua lega, saya sekeluarga pun tenang.

Ins Sha Allah, kami percaya rezeki yang baik akan hadir dengan membahagiakan kedua ibu dan bapa.


Misi pulang ke Semenanjung

Saya secara rasmi tamat bertugas pada 31 Ogos 2020 (Merdeka!)

Semasa sibuk dengan projek pada bulan Ogos tersebut, saya dan isteri telah mula kemas-kemas untuk packing.

Habis sahaja tempoh saya bertugas, kami terus mula berkemas-kemas secara menyeluruh.

Masing-masing muka keletihan mengemas rumah nak pindah. Tengoklah bertapa sepahnya rumah!

Banyak barang-barang yang dibeli terpaksa dijual kerana kami tidak mahu menambah kos untuk membawa barang-barang seperti perabot dan lain-lain pulang ke Semenanjung.

Kalau bawa balik pun tidak tahu hendak simpan di mana.

Jual sofa yang baru setahun pakai.

Jadi lebih baik jual sahaja. Mudah dan tak perlu fikir banyak bila pulang ke Semenanjung.

Mengemas kami memang betul-betul kemas. Sampai cat balik dinding-dinding rumah untuk kesenangan penyewa akan datang.

Working at height – Selamat tak bekerja macam ni?

“Rajin betul sampai cat rumah sewa?”

Kami percaya:

“Dalam Islam kita digalakkan untuk mudahkan urusan orang dan sentiasa memberi. Barulah berkat kehidupan kita. Ins Sha Allah, Allah akan berikan ganjaran yang lebih baik suatu hari nanti”


Sambil menyelam kita minum air

Dah alang-alang nak balik for good. Why not kita habiskan sedikit masa yang ada untuk menikmati keindahan di bumi Sabah.

Sambil-sambil kemas untuk pindah, kami ambil peluang untuk bercuti dengan pergi tempat-tempat menarik dan favourite kami di Sabah. (Masa ni, kes COVID-19 di Sabah sangat rendah – hampir tiada kes harian).

Antara tempat-tempat yang sempat kami singgah untuk melawat:

  1. Kokol Haven Resort, Kota Kinabalu
Tempat viewing paling best untuk tengok seluruh bandar Kota Kinabalu sambil kupi-kupi.

2. Usukan Cove Lodge, Kota Belud

Option lain untuk menikmati keindahan pantai jernih dan kebiruan yang tenang di Sabah. Salah satu port snorkelling & diving.

3. Tegudon Tourism Village, Kota Belud

Masa ni baru lepas hujan. Kalau cuaca baik, air sungai ni sangat jernih. Boleh mandi bersama dengan ikan-ikan sungai.

4. Sutera Harbour Resort

Air laut di Sutera Harbour ni pun jernih kebiruan. Boleh snorkelling dekat sini.
Bermain di swimming pool dengan berlatar belakang landscape Marina sambil menikmati sunset.

Last but not least, tempat wajib pergi yang tak akan dilupakan:

5. Kundasang, Ranau

Banyak lokasi ambil gambar berlatar belakangkan view Gunung Kinabalu yang perlu di explore sendiri. Lokasi ini pun baru jumpa.
Macam bercuti di New Zealand pula rasanya.

Pastinya, saya, isteri dan anak-anak akan merindui sangat-sangat suasana dan keindahan tempat-tempat melawat ini di Sabah.

Ins Sha Allah, ada rezeki kami akan datang melawat lagi.


Rezeki yang tidak disangka – Pulang sebelum PKPB dikuatkuasakan

Saya sekeluarga pulang dari Sabah ke Semenanjung pada 15 September 2020. Pada masa ini, PKPB dan arahan kuarantin masih belum dikuatkuasakan.

Gambar kenangan di Airport Kota Kinabalu sebelum berlepas pulang ke Semenanjung.

Masa ni, tiket flight sudah saya beli lebih awal kerana sudah ada dalam rancangan untuk pulang ke Semenanjung bagi menghadiri majlis kahwin adik. – Tak sangka, tiket flight ini menjadi tiket balik for good.

5 Hari selepas pulang dari Sabah, kes COVID-19 yang sebelum itu banyak di pantai Timur Sabah, semakin bertambah dan merebak pula ke pantai barat Sabah termasuk Kota Kinabalu.

27 September 2020, saya mendapat berita yang kerajaan telah menguatkuasakan saringan dan kuarantin wajib.

Ya Allah, masa dengar berita ni, saya dan isteri bersyukur sangat-sangat! Kami sekeluarga sudah pun berada di Semenanjung.

Betul lah apa yang dijanjikan olehNya, rancangan Allah S.W.T. itu adalah yang terbaik kita hanya mampu berdoa dan berusaha setakat yang mampu.

Syukur Alhamdulillah juga dipermudahkan urusan pindah kami sekeluarga.


Bagaimana dengan pekerjaan di Semenanjung?

Semasa saya menulis posting ini, saya masih belum mula kerja. Ins Sha Allah, saya akan mula lapor diri pada bulan November 2020.

Secara jujur:

Keputusan berhenti kerja di Sabah bukan lah 100% disebabkan faktor-faktor yang saya kongsikan di atas. Ada juga beberapa faktor lain yang agak tidak sesuai untuk saya kongsikan kepada umum.

Tetapi, yang mana telah saya kongsikan di atas itulah yang sangat kuat mendorong saya untuk membuat keputusan yang agak berisiko ini.

Namun,

saya percaya, rezeki yang Allah S.W.T. lorongkan itu adalah yang terbaik bagi saya dan keluarga.

Jika anda tanya apa pekerjaan saya next?

Ins Sha Allah saya akan kongsikan kepada anda di posting My Journey yang lain.


Perkongsian saya kali ini adalah semata-mata untuk berkongsi pengalaman saya sekeluarga pada waktu ini sebagai bahan bacaan santai.

Mungkin isi nya tidak lah ke arah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.

Namun,

Izinkan saya menyimpan memori ini di sini sebagai bacaan di hari tua saya dan isteri termasuk juga anak cucu kami pada masa akan datang.

Kerana moment ini adalah sangat precious dalam kehidupan kami sekeluarga.

Saya ucapkan terima kasih kepada anda yang sudi luangkan masa untuk membaca pengalaman hijrah pulang ke Semenanjung saya di dalam posting kali ini.

Harap-harap pengalaman yang saya kongsikan ini juga, dapat memberikan satu kisah inspirasi buat anda.

Shahrul Reza

Seorang Safety and Health Professional yang ingin berkongsi sedikit sebanyak ilmu pengetahuan tentang OSH, motivasi diri dan buah fikiran yang boleh memberi manfaat kepada semua pembaca.

View all posts by Shahrul Reza →

Anda dapat sesuatu? Tinggalkan komen anda disini