Mengikut akta OSHA 1994 di Malaysia, terdapat 10 jenis industri yang mewajibkan majikan untuk mengambil SHO sebagai pekerja di dalam syarikat bagi menguruskan hal-hal berkaitan dengan keselamatan dan kesihatan pekerja.
Jika anda seorang SHO yang kompeten atau masih baru berjinak-jinak dalam bidang OSH,
Dan sedang mencari peluang-peluang pekerjaan di dalam industri-industri di Malaysia…
Artikel kali ini saya kongsikan khusus kepada anda, supaya dapat memberi idea dalam memilih kerjaya sebagai SHO di dalam industri yang bersesuaian dan bertepatan dengan jiwa anda.
Usah pening-pening lagi!
Teruskan bacaan anda untuk ketahui 10 jenis industri yang wajib mengambil SHO sebagai pekerja:
1. Pengendalian Bangunan
“Mana-mana pengendalian bangunan yang jumlah harga kontrak projek melebihi dua puluh juta ringgit.”
Perintah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pegawai Keselamatan dan Kesihatan) 1997
Industri pengendalian bangunan atau lebih sinonim sebagai industri pembinaan yang terlibat dengan projek-projek pembinaan bangunan yang bernilai besar seperti projek pembinaan bangunan tinggi (high-rise building), perumahan, penyelengaraan bangunan dan lain-lain yang hanya berkaitan dengan bangunan.
Bidang kerjaya Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di dalam industri ini sudah tidak asing lagi bagi kalangan SHO atau pengamal-pengamal OSH.
Sebab, rata-rata antara mereka hampir semuanya memulakan kerjaya mereka sebagai pengamal OSH di dalam industri ini dan seterusnya berkembang menjadi SHO yang kompeten.
2. Pembinaan Kejuruteraan
“Mana-mana kerja pembinaan kejuruteraan yang jumlah harga kontrak projek melebihi dua puluh juta ringgit.”
Perintah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pegawai Keselamatan dan Kesihatan) 1997
Industri ini boleh dikatakan hampir sama dengan industri pembinaan,
Cuma bezanya,
Ia lebih banyak terlibat dengan kerja-kerja pembinaan kejuruteraan berskala besar (yang tidak terlibat dengan bangunan) seperti pembinaan jalan raya, jambatan, laluan rel kereta api atau LRT, kerja-kerja pempaipan bandar, kerja pembinaan terowong dan lain-lain.
Selain itu,
Sebahagian dari kerja-kerja pembinaan kejuruteraan bagi industri minyak dan gas juga termasuk di dalam kategori industri ini. Sebagai contoh, pembinaan pelantar-pelantar minyak dan lain-lain yang berkaitan.
3. Pembinaan Kapal
“Mana-mana kerja pembinaan kapal yang mengambil kerja lebih daripada seratus orang pekerja pada puncak kerja.”
Perintah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pegawai Keselamatan dan Kesihatan) 1997
Industri pembinaan kapal lebih tertumpu di kawasan yang mempunyai akses sumber perairan dan mempunyai kawasan pembinaan kapal yang luas.
Kebiasaannya kerja-kerja pembinaan kapal ini dijalankan di dalam premis syarikat tersebut yang lebih dikenali sebagai Shipyard.
Proses pembinaan kapal banyak terlibat dengan kerja-kerja kejuruteraan yang kompleks dan memerlukan ramai orang pekerja untuk melaksanakannya.
Ada shipyard yang membina kapal-kapal yang kecil dan ada juga yang membina kapal bersaiz sebesar 5 padang bola! Malah lebih besar pun ada!
4. Industri Gas Atau Petrokimia
“Mana-mana aktiviti memproses gas atau industri petrokimia yang mengambil kerja lebih daripada seratus orang pekerja.”
Perintah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pegawai Keselamatan dan Kesihatan) 1997
Industri memproses gas dan petrokimia atau nama popularnya Oil & Gas.
Kerja-kerja yang bertumpu di loji-loji memproses atau process plant sama ada di darat (onshore) mahupun di laut (offshore). Semua loji memproses ini diuruskan oleh syarikat-syarikat minyak dan gas gergasi seperti PETRONAS, SHELL dan lain-lain.
Anda boleh lihat sendiri saiz keluasan loji-loji memproses minyak dan gas di Malaysia seperti di Kerteh (Terengganu), Kimanis (Sabah) dan yang terbaru di Pengerang (Johor). Kawasan operasinya adalah sangat luas!
Dengan skala loji pemprosesan yang sangat luas serta risiko bahaya yang sangat tinggi, sudah pasti, setiap syarikat minyak dan gas wajib mengambil SHO sebagai pekerja.
5. Industri Kimia
“Mana-mana industri kimia dan yang bersekutu yang mengambil kerja lebih daripada seratus orang pekerja.”
Perintah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pegawai Keselamatan dan Kesihatan) 1997
Terdapat pelbagai syarikat-syarikat di Malaysia yang menjalankan aktiviti perniagaan memproses bahan kimia. Kesemuanya beroperasi bertujuan untuk menghasilkan sesuatu produk kegunaan harian setiap manusia.
Apabila kita bercerita sahaja tentang industri kimia, anda pun sudah tahu, pekerjaan tersebut lebih bertumpu di dalam kilang memproses bahan kimia, mempunyai bilangan pekerja yang sangat ramai dan paling utama, terlibat dengan bahan-bahan kimia berbahaya.
Bahan kimia berbahaya perlu diurus dengan teliti!
Kesilapan dalam menguruskannya boleh membawa kepada kemalangan yang berskala besar dan sangat serius seperti kematian ramai orang (pekerja mahupun orang awam) dan pencemaran alam sekitar yang teruk.
6. Industri Pembuatan Dandang dan Vessel Tekanan
“Mana-mana aktiviti membuat dandang dan vessel tekanan yang mengambil kerja lebih daripada seratus orang pekerja.”
Perintah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pegawai Keselamatan dan Kesihatan) 1997
Industri dandang dan vessel tekanan atau bagi orang industri, terma yang biasa digunakan ialah (dalam Bahasa Inggeris) Boiler & Pressure Vessel.
Secara amnya,
Industri pembuatan Boiler & Pressure Vessel merupakan satu industri yang utama dan saling menyokong industri-industri lain kerana Boiler & Pressure Vessel adalah salah satu komponen penting dalam sesebuah kilang.
Mana-mana kilang anda pergi pun, sama ada kilang memproses bahan kimia ataupun pembuatan, anda pasti akan jumpa sama ada boiler atau pressure vessel terpasang di dalamnya.
Bila bercerita tentang kilang, anda jangan ingat menghasilkan Boiler & Pressure Vessel ini seperti kilang-kilang lain yang mempunyai sistem mesin automasi mahupun production line. Semua hasilnya sama sahaja…
Tidak! Ia tidak sama dan setiap kali boiler & pressure vessel yang dihasilkan semuanya berlainan saiz, bentuk, design dan mengikut spesifikasi yang telah diminta oleh pelanggan.
Proses membuat boiler & pressure vessel memerlukan kerja-kerja hands-on oleh pekerja-pekerja yang terlatih serta kawasan yang agak luas untuk di fabrikasi.
Ada boiler atau pressure vessel yang dihasilkan bersaiz kecil dan ada yang sehingga saiz yang sangat besar setinggi bangunan 3-5 tingkat!
7. Industri Pembuatan Logam
“Mana-mana industri logam yang terdapat kerja mengetin, mengecap, menebuk, memotong, atau melentur dan yang mengambil kerja lebih daripada seratus orang pekerja.”
Perintah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pegawai Keselamatan dan Kesihatan) 1997
Industri pembuatan logam adalah salah satu industri yang sangat luas aplikasinya dan ia adalah salah satu industri yang paling giat diusahakan di Malaysia.
Kebanyakkan kilang-kilang pembuatan logam lebih bertumpu di kawasan perindustrian berat dan mempunyai production line yang sistematik untuk menghasilkan sesuatu produk logam.
Dari sekecil-kecil pin sehinggalah produk yang lebih besar seperti produk komponen logam untuk keperluan untuk industri-industri lain.
8. Industri Kerja Kayu
“Mana-mana industri kerja kayu di mana terdapat kerja pemotongan, menggergaji, mengetam, membentuk, melicinkan, mengupas atau mana-mana gabungan yang di atas, dan yang mengambil kerja lebih daripada seratus orang pekerja.”
Perintah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pegawai Keselamatan dan Kesihatan) 1997
Selain dari industri pembuatan logam, industri kerja kayu juga penting untuk kehidupan harian manusia.
Negara kita Malaysia mempunyai sumber kayu yang sangat banyak dan di sebabkan itu juga, industri kerja kayu merupakan salah satu industri yang giat diusahakan.
Aplikasinya juga sangat luas dan banyak produk-produk kayu yang dihasilkan seperti perabot rumah, hiasan dalaman rumah, alatan kayu untuk kegunaan pekerjaan lain, dan sebagainya.
Untuk pengetahuan anda,
industri perkayuan di Malaysia adalah penyumbang besar kepada sektor komoditi iaitu dengan pendapatan eksport bernilai RM23.2 bilion pada tahun 2017!
Terbukti, industri kerja kayu sangat penting dalam ekonomi negara dan sudah tentu, peluang pekerjaan untuk SHO juga adalah baik.
9. Industri Pembuatan Simen
“Mana-mana aktiviti pembuatan simen yang mengambil kerja lebih daripada seratus orang pekerja.”
Perintah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pegawai Keselamatan dan Kesihatan) 1997
Industri pembuatan simen merupakan salah satu industri sokongan kepada industri pembinaan.
Kerana simen merupakan komponen utama dalam pembinaan bangunan.
Industri pembuatan simen juga sangat luas,
Bermula dari kerja-kerja mengorek batuan di bukit-bukit atau kuari, kemudian kerja-kerja pengumpulan dan penghantaran, seterusnya, memproses, membungkus dan akhirnya kepada jualan.
Melalui proses ini, anda boleh bayangkan yang setiap syarikat pengusaha simen memerlukan jumlah pekerja yang ramai.
Oleh yang demikian,
sudah tentu SHO wajib diambil sebagai pekerja.
10. Industri Pembuatan Lain
“Mana-mana aktiviti pembuatan lain selain daripada aktiviti pembuatan yang dinyatakan dalam subperenggan (f) hingga (i) yang mengambil kerja lebih daripada lima ratus orang pekerja.”
Perintah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pegawai Keselamatan dan Kesihatan) 1997
Ini straightforward.
Saya tidak perlu jelaskan banyak tentang perkara ini kerana terlalu banyak industri pembuatan di Malaysia ini yang boleh dikatakan hampir keseluruhannya akan mengambil bilangan pekerja yang ramai dan sudah tentu wajib mengambil SHO sebagai pekerja.
Sebagai contoh:
Industri pembuatan produk plastik, industri pembuatan produk elektronik, industri pembuatan makanan dan sebagainya.
Asalkan cukup syarat, syarikat tersebut wajib mengambil seorang atau lebih SHO sebagai pekerja.
Secara kesimpulannya:
Hampir keseluruhan industri-industri di Malaysia ini yang wajib mengambil SHO sebagai pekerja.
Sekaligus,
memberi peluang pekerjaan yang luas untuk setiap SHO mahupun pengamal-pengamal OSH.
Syarat-syarat dan keperluan yang di senaraikan di dalam akta adalah garis panduan yang telah di tetapkan oleh kerajaan Malaysia.
Oleh itu,
Setiap syarikat di Malaysia yang terlibat dengan industri-industri yang disenaraikan diatas wajib mematuhinya,
dimana SHO yang diambil bekerja boleh menjalankan tugas untuk menguruskan hal-hal berkaitan dengan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.
Bagi anda yang sedang tercari-cari pekerjaan sebagai SHO atau pengamal OSH, harap artikel ini dapat memberikan sedikit sebanyak idea untuk anda menceburi bidang kerjaya OSH di dalam industri pilihan anda.
Selamat Maju Jaya!
Kredit Foto Quang Nguyen Vinh dari Pexels
berapa jumlah pekerja yg mewajibkan company perlu ada safety officer di industry?
Projek pengubahsuaian bernilai RM80 juta perlu mengambil seorang SHO?
Salam tuan,
nak tanye, kat mana di tulis mengenai 10 jenis industri yang mewajibkan majikan untuk mengambil SHO? sy cari tak jumpa la
Waalaikumsalam,
Ada dalam Perintah Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan (Pegawai Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan) 1997
Assalamualaikum sir, Boleh ke saya dapatkan Ir dalam bidan safety ni Sir.
Waalaikumsalam Rifaie,
Tak boleh. Untuk awak dapatkan Ir. awak kena practice kerja-kerja engineering. SHO ni adalah kompetensi lain dan tugasannya berbeza dengan tugas-tugas yang dilakukan oleh seorang Engineer.
Sebaiknya, awak ambil Ir. dulu kemudian baru ambil SHO. Perjalanan kerjaya sendiri, awak perlu tentukan sendiri. Harap saya menjawab persoalan awak.
Terima kasih.
Salam sejahtera En Reza. Saya baru bercadang untuk mengambil sijil safety n health di NIOSH untuk bulan Mac/April 2021. Saya ada soalan, selain SHO, sijil safety apa yang berbaloi untuk diambil dan banyak peluang kerjaya nya pada zaman sekarang? Adakah patut saya pertimbangkan OSFA? Terima kasih đŸ™‚
Salam Sejahtera Atiqah. Terima kasih atas pertanyaan Atiqah. Untuk sijil safety selain SHO yang awak boleh ambil untuk menepati kriteria peluang pekerjaan sekarang ada pelbagai dan ianya bergantung kepada industri mana yang awak nak ceburi. Sebagi contoh, jika anda berminat untuk join bidang oil and gas, anda boleh ambil sijil BOSEIT, Confine Space, AGTES, Basic First Aid dan lain-lain lagi. Semua bergantung kepada keperluan syarikat tempat anda hendak bekerja nanti.
Sebagai permulaan, awak ambil yang basic2 sahaja dulu. Kadang-kadang bukan semua sijil boleh digunapakai. Ada juga kursus lain yang bukan safety yang boleh anda ambil seperti Train The Trainer (TTT), Public Speaking, Advance Microsoft Office dan sebagainya. Yang ini adalah berkaitan dengan soft skill dan sangat membantu dalam pengurusan pekerjaan anda nanti.
Kesimpulan, jangan ambil banyak kursus safety semata-mata untuk meningkatkan peluang dapat pekerjaan. Cari kursus yang betul-betul ada added value dan berguna masa bekerja nanti. Saya tidak halang jika awak nak ambil mana-mana kursus safety cuma tidak digalakkan takut membazir.
Harap penerangan saya ini dapat memberi manfaat kepada Atiqah. By the way, saya tak pasti apa OSFA stands for dan 1st time juga saya dengar term ni. Jika sudi, boleh kongsikan kepada saya apa itu OSFA?
Terima kasih.