Kebiasaannya di hujung tahun ini, Malaysia akan mengalami musim monsun Timur Laut di mana hujan yang lebat bakal berlaku di bahagian negeri-negeri pantai timur Semenanjung Malaysia, pantai barat Sabah & Sarawak.
Apabila masuk musim monsun sahaja, pekerja-pekerja yang bekerja di “offshore” juga tidak terlepas daripada risiko yang lebih berbahaya daripada biasa. Cuaca yang buruk akan menghasilkan hazard yang berisiko tinggi dan boleh menyebabkan insiden yang tidak diingini boleh berlaku.
Antara insiden yang biasa berlaku ketika bekerja dalam keadaan cuaca yang buruk di “offshore”:
1. Perlanggaran kapal
Musim monsun yang tidak menentu akan menghasilkan laut yang bergelora dan berombak lebih daripada biasa. Ombak yang kuat boleh menyebabkan kapal-kapal yang bekerja di “offshore” menjadi tidak terkawal dan potensi pelanggaran sama ada kapal dengan kapal ataupun kapal dengan pelantar minyak boleh berlaku.
2. Objek atau barang terjatuh dari tempat tinggi
Kerja-kerja mengangkat barang atau barang yang tidak diikat dengan baik berpotensi untuk jatuh sekiranya kerja-kerja ini dilakukan semasa cuaca yang buruk.
Angin kuat dan diikuti dengan ombak kuat akan menyebabkan barang yang diangkat dengan kren menjadi tidak terkawal dan berpotensi untuk jatuh ke bawah.
Jika tidak kena masa dan tempat, barang yang terjatuh boleh terhempap pekerja yang bekerja di bawah dan risiko kematian boleh berlaku. Jika bernasib baik, hanya kerosakkan barang sahaja, tetapi ini akan merugikan syarikat.
3. Objek atau barang yang tercampak atau terpelanting
Apa sahaja objek atau barang-barang yang tidak di diikat dengan rapi semasa ia disimpan di atas kapal lebih mudah untuk tercampak apabila berada dalam situasi kapal yang bergoyang ketika cuaca buruk di laut.
Barang-barang atau objek yang tercampak ini tidak akan mengenal siapa mangsanya sekiranya ada pekerja berada berdekatan dengan objek tersebut, kalau nasib tidak baik pasti akan terkena tujahan barang-barang atau objek yang tercampak tersebut.
Jika objek atau barang-barang tersebut adalah kecil, mungkin kecedaran yang dialami tidak terlalu teruk, tetapi bagaimana pula dengan objek yang lebih besar?
4. Pekerja jatuh dari tempat tinggi
Jatuh dari tempat tinggi juga boleh berlaku pada cuaca baik, tetapi risikonya akan betambah lebih tinggi apabila bekerja pada cuaca yang kurang baik. Apabila hujan lebat, kebiasaannya permukaan lantai atau platform bekerja akan menjadi lebih licin.
Sekiranya tidak berhati-hati, silap haribulan boleh tergelincir dan menyebabkan jatuh dari tempat tinggi. Kecederaan yang dialami mungkin sangat teruk dan berpotensi menyebabkan kematian.
5. Pekerja jatuh ke laut semasa kerja pemindahan (boat transfer atau gangway crossing)
Insiden ini adalah yang sering terjadi ialah apabila pekerja ingin melakukan boat transfer sama ada secara manual dengan menggunakan “swing rope” atau secara “transfer basket”.
Keadaan “platform” dan deck kapal yang tidak sekata serta keadaan bergoyang, menyukarkan pekerja untuk mengagak “platform” yang ingin dipijak dan juga tidak seimbang. Ini berpotensi menyebabkan pekerja tersilap langkah dan terjatuh ke dalam laut.
Bagi kerja pemindahan pekerja menggunakan “transfer basket” pula, ianya menggunakan kren untuk mengangkat alat pemindahan tersebut. Apabila menggunakan “transfer basket” semuanya bergantung kepada kemahiran operator yang mengendalikan kren semasa kerja pemindahan pekerja.
Apabila melakukan pemindahan menggunakan “transfer basket” sewaktu cuaca buruk, pelbagai perkara boleh berlaku dalam sekelip mata dan banyak insiden yang berlaku ketika pemindahan ini menyebabkan pekerja yang dipindahkan itu tercedera, jatuh ke laut dan paling teruk adalah kematian.
Setiap perkara yang tidak diingini boleh dicegah dan insiden yang dinyatakan pasti dapat dielakkan. Pekerja harus sentiasa waspada dan sedar akan keadaan sekeliling terutama apabila bekerja dalam keadaan cuaca buruk di offshore.
Prosedur Henti Kerja atau “Stop Work” harus sentiasa diamalkan sekiranya keadaan kerja terlalu berbahaya atau berisiko tinggi. Semoga yang sedang bekerja di laut dalam keadaan cuaca buruk sentiasa tabah dalam mengharungi cabaran kerja.
Sumber Gambar : Maritime Symposium Rotterdam
Sumber Video-Video: Tiada sumber yang pasti. Ia adalah perkongsian dari rakan-rakan di group whatsapp