October 12, 2024

Versi yang lebih baik untuk tahun 2020

Alhamdulillah ketika saya menulis artikel ini, kita sudah pun masuk hari kedua bagi tahun 2020. Lazimnya, bila masuk tahun baru sahaja, setiap orang pasti mempunyai azam yang baru bukan?

Tapi sebelum tu… Bagaimana dengan azam tahun 2019 anda? Adakah semuanya berjaya dicapai?

Saya harap segala azam anda pada tahun 2019 semuanya tercapai. Paling tidak pun, sebahagian daripadanya tercapai pun sudah bersyukur betul?

Alhamdulillah, bagi saya tahun 2019 adalah tahun yang agak mencabar!

Walau tak semua yang saya azamkan pada awal tahun lepas tercapai, cukup untuk saya rasa bersyukur kepada Allah S.W.T. atas apa yang telah ditentukan.

Baiklah, sekarang tiba masanya kita lalui fasa tahun 2020 bersama. Pastinya lembaran baru yang memberikan pelbagai lagi cabaran untuk kita tempuhi supaya menjadikan kita lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya.

Saya sebenarnya jarang sekali berkongsi tentang azam saya pada orang lain kecuali keluarga saya sendiri. Kebiasaannya saya akan menulis di dalam nota saya.

Tetapi, kali ini, saya ingin melakukan sedikit kelainan dengan berkongsi kepada anda semua.

Lebih fokus dengan tindakan.

Sebelum ini, memang lah banyak tindakan yang saya lakukan. Contohnya semasa proses membina laman web ini. Saya tidak memberikan fokus 100% dalam berusaha untuk membina laman web ini walaupun saya sudah membeli laman web ini hampir setahun yang lepas!

Saya banyak menangguh untuk menyiapkan laman web ini dengan alasan letih dan hanya pentingkan pekerjaan utama saya. Memang tidak dinafikan, pekerjaan utama saya adalah lebih penting dan fokus lebih diberikan kepadanya.

Mungkin sebab buat kerja itu ada gaji. Yang ini belum ada apa-apa hasil lagi. Akhirnya, saya juga yang rugi!

Tetapi, ini bukan lah satu alasan untuk saya tidak teruskan. Ins Sha Allah, untuk peringkat permulaan ini, saya akan aktif di dalam blog, Facebook dan juga Instagram.

Yang lepas itu kita jadikan pengajaran, sekarang mari kita sama-sama berusaha kearah lebih baik dan perbaiki mana-mana kelemahan yang ada.

Stop main game! dan berpijak di bumi yang nyata

Saya ini memang suka main game, lebih-lebih lagi game yang ada di dalam telefon pintar. (Bukan PUBG ya..)

Tetapi, apabila main game di telefon, ianya menjadi satu ketagihan dan memang nak berhenti itu agak payah.

Isteri pun ada tegur beberapa kali, cuma kadang-kadang saya memang tidak makan kata, masih teruskan bermain.

Alhamdulillah, 2 hari sebelum tahun baru,  saya terus nekad untuk berhenti bermain game dan “delete” game yang ada di dalam telefon.

Nak tahu apa rahsia yang membuatkan saya boleh berhenti?

Sebenarnya tiada rahsia apa pun dan bukan sebab isteri marah. Ini adalah kemahuan saya sendiri.

Sedang saya bermain game pada hari yang saya berhenti tersebut, saya hanya terfikir satu soalan yang bermain di minda:

“Sampai bila aku nak terus main game ini. Umur pun makin meningkat.  Tak sedar-sedar lagi ke?”

Persoalan yang terlintas ini lah yang menjadi “turning point” untuk saya berhenti serta-merta. Saya berhenti demi memastikan azam saya yang pertama dapat dicapai.

Ya, belum lagi masuk tahun baru, azam ini telah pun tercapai. Sekarang saya cuma perlu istiqamah sahaja dengan azam yang saya tetapkan ini.

Fokus lebih kepada keluarga

Anak saya Alhamdulillah tahun ini sudah masuk tahun 1 dan bersekolah di salah sebuah sekolah di Kota Kinabalu. Ini juga menjadi salah satu sebab untuk saya berubah dan fokus kepada keluarga.

Cuba anda fikirkan, bagaimana anda hendak fokus kepada keluarga sedangkan anda masih leka untuk bermain game atau membuat kerja-kerja lain yang tidak memberikan apa-apa nilai?

Pastinya keluarga semua akan merasakan kurangnya perhatian dan disebabkan itu, tahun ini saya hendak lebih fokus dalam menjalankan tanggungjawab sebagai ayah dan suami kepada keluarga saya yang kecil ini.

Ins Sha Allah, saya tidak lah mengatakan saya ini seorang pemimpin keluarga yang sempurna, tetapi cukup untuk mereka hormat dan hargai ketika bersama.

No phone policy selepas pulang ke rumah selepas waktu kerja

Wah! macam syarikat pula dibuatnya untuk di rumah. Ya, ini adalah salah satu inisiatif kami suami isteri untuk merealisasikan azam fokus dengan keluarga di atas.

Tugasan seperti saya ini kadang-kadang perlukan jawapan yang segera pada segala permintaan dari “offshore” atau operasi kerja. Sama juga dengan isteri yang berniaga dari rumah yang perlu membalas pesanan dari pelanggan.

Walaupun agak sukar, tapi kami akan cuba kurangkan pengunnaan telefon pintar di rumah selepas waktu bekerja. Kami hanya akan menjawab segala panggilan yang betul-betul penting sahaja.

Kesihatan adalah sangat penting

Walaupun masih muda dan Alhamdulillah masih sihat, tetapi bukan lah alasan untuk saya tidak menjaga kesihatan.

Saya ini, tidak pasti sama ada saya memang sibuk atau sengaja sibukkan diri sehinggakan tidak sempat untuk bersenam.

Hampir kebanyakkan ahli keluarga saya semuanya telah menghadap Ilahi terlebih dahulu dan kesemuanya berpunca dari tidak menjaga kesihatan. Ini menyebabkan saya sedar betapa pentingnya kesihatan diri.

Jika tidak sihat bagaimana kita hendak “perform” dalam bekerja. Jutawan pun utamakan kesihatan dengan mengambil masa untuk bersenam kenapa kita tidak?

Ins Sha Allah, tahun 2020, saya berjanji dengan diri sendiri untuk konsisten bersenam sekurang-kurangnya 30 minit sehari untuk memastikan kecerdasan badan adalah pada tahap optimum dan badan sentiasa bertenaga.

Lebih banyak membaca buku, lebih luas pengetahuan

Bukan saya tak rajin membaca buku, kadang-kadang satu buku yang saya baca mengambil masa setahun untuk saya habiskan.

Sekali lagi sikap saya yang suka menangguh dan tidak menguruskan masa dengan baik membuatkan ilmu dari buku-buku yang dibaca tidak dihadam dengan betul.

Mana tidak, baca buku 2-3 muka, terus berhenti 2-3 bulan baru baca balik. Bagaimana nak hadam semua ilmu yang disampaikan di dalam buku tersebut?

Jadi, saya menetapkan matlamat untuk membaca sekurang-kurangnya satu buku setiap bulan untuk saya tambah lagi ilmu pengetahuan supaya dapat diaplikasikan dalam kehidupan harian.

Berkongsi ilmu pengetahuan

Saya memang suka untuk menyampaikan ilmu dan memang sangat bersemangat untuk mengajar. Ya, saya juga berazam untuk menjadi seorang trainer dan konsultan dalam bidang yang saya ceburi, cuma setakat ini, ia adalah “Ultimate Goal” saya. Untuk mencapai tahap ini mengambil masa lagi dan perlu menimba lebih banyak ilmu lagi.

Buat masa sekarang, cukup saya mulakan berkongsi ilmu pengetahuan yang tidak seberapa ini kepada anda melalui blog saya, facebook dan instagram.

Lebih baik mula sekarang daripada kita tertunggu-tunggu untuk mulakan pada waktu yang tepat.

Kalau nak tahu, tiada waktu yang tepat di dalam dunia ini. Waktu yang tepat adalah anda mulakan sekarang!

Jika diberi peluang, Ins Sha Allah mungkin satu hari nanti saya akan menjadi trainer anda secara “live”.

Cukup lah sekadar 7 azam yang saya tetapkan untuk saya menjadi versi yang lebih baik bagi tahun 2020.

Untuk mencapai kesemuanya memang sukar dan ia memerlukan keazaman yang tinggi untuk merealisasikannya. Walaupun nampak sukar, tetapi ianya tidak mustahil, yang penting kita perlu sentiasa berusaha.

Saya juga mendoakan agar apa yang anda azamkan tahun ini akan tercapai.

Jika sudi, kongsikan juga salah satu azam anda di ruang komen di bawah.

Selamat Tahun Baru 2020!

Kredit foto:  Tim Bogdanov on Unsplash

Shahrul Reza

Seorang Safety and Health Professional yang ingin berkongsi sedikit sebanyak ilmu pengetahuan tentang OSH, motivasi diri dan buah fikiran yang boleh memberi manfaat kepada semua pembaca.

View all posts by Shahrul Reza →

Anda dapat sesuatu? Tinggalkan komen anda disini