April 4, 2026

7 Perkara Yang Anda Perlu Tahu Tentang Peperiksaan Safety and Health Officer (SHO)

Anda telah berjaya menamatkan kursus Safety and Health Officer (SHO)? Jika sudah, Tahniah! saya ucapkan. Saya pasti, anda sudah tidak sabar untuk daftarkan diri menduduki Peperiksaan Safety and Health Officer (SHO).

Sebelum itu saya nak tanya:

Adakah anda betul-betul tahu tentang apa itu peperiksaan SHO?

Bagaimana rupa bentuk soalan-soalannya? Bagaimana cara hendak lulus?

Dan pelbagai soalan yang sedang bermain di fikiran anda, betul?

Baiklah, posting kali ini, saya kongsikan 7 perkara penting yang anda perlu tahu terlebih dahulu, sebelum mendaftarkan diri untuk menduduki peperiksaan SHO.

Bagi anda yang masih belum tamatkan atau ambil kursus SHO lagi, jangan risau…

Anda boleh teruskan bacaan dan ambil manfaat dari apa yang saya kongsikan dalam posting ini sebagai persediaan untuk anda.

Rujuk posting saya yang lepas, “3 Cara Memulakan Kerjaya Sebagai SHO” sekiranya anda ingin tahu bagaimana cara untuk ambil kursus SHO.

7 perkara in adalah asas bagi setiap calon. Anda wajib ambil tahu dan fahamkan kerana ianya sangat penting untuk persediaan anda.

Baiklah jangan buang masa lagi…

Jom, baca dan hadamkan:


1. Kenapa perlu ambil atau menduduki Peperiksaan SHO?

Ia merupakan salah satu syarat wajib untuk melayakan anda mendaftarkan diri sebagai orang yang kompeten (OYK) SHO.

Ia juga adalah langkah untuk menilai kefahaman anda tentang apa yang telah dipelajari di dalam kursus SHO.

Oleh itu, jika anda hendak menjadi SHO yang berdaftar, anda wajib lulus peperiksaan ini.


2. Bagaimana cara untuk daftarkan diri?

Zaman sekarang mudah:

Anda boleh mendaftarkan diri secara online sahaja dengan mengisi borang permohonan online yang telah dibangunkan oleh pihak NIOSH.

Untung anda semua,

Ingat lagi semasa saya ambil peperiksaan SHO pada tahun 2013, saya perlu isi borang secara manual dan hantar ke pejabat NIOSH melalui pos untuk diproses.


3. Bila boleh daftarkan diri?

Bila-bila masa sahaja anda boleh daftarkan diri, asalkan anda sudah memenuhi setiap syarat kelayakan dan pastikan tidak melebihi 3 Tahun selepas tarikh anda tamat kursus SHO.

Anda juga harus ingat:

Apabila anda sudah daftarkan diri, anda wajib habiskan kesemua kertas peperiksaan dalam tempoh 2 tahun bermula dari tarikh anda ambil peperiksaan yang pertama.

Jika anda gagal untuk habiskan dalam tempoh 2 tahun, anda perlu mengulang semula kursus SHO.

Anda boleh rujuk posting 3 Cara dan Langkah-Langkah memulakan kerjaya sebagai SHO yang saya kongsikan sebelum ini berkenaan tentang tempoh masa untuk ambil dan juga tempoh mengulang peperiksaan SHO yang dibenarkan oleh pihak NIOSH. – Terus ke bahagian Langkah 2: Lulus peperiksaan SHO.


4. Apa syarat-syarat kelayakan untuk daftar?

Ini syarat-syarat yang anda perlu tahu bagi memastikan anda layak untuk daftarkan diri menduduki peperiksaan SHO:

  1. Berjaya tamatkan kursus SHO;
  2. Mempunyai sekurang-kurangnya SPM, MCE, SPVM atau sijil yang setaraf (dengan minimum gred 3); ATAU
  3. Mempunyai SPM (sijil terbuka) dengan syarat-syarat berikut:

    1. Menduduki sekurang-kurangnya 6 subjek; DAN
    2. Kepujian sekurang-kurangnya gred 6C dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Matematik; DAN
    3. Lulus sekurang-kurangnya satu (1) subjek dengan sekurang-kurangnya gred 8E untuk mata pelajaran sains atau fizik atau kimia atau biologi; DAN
    4. Lulus lain-lain mata pelajaran dengan sekurang-kurangnya jumlah kesuluruhan mata pelajaran berjumlah enam (6); ATAU
    5. STPM dalam aliran Sains; ATAU
    6. Bagi kelayakan tertinggi, sekurang-kurangnya Diploma dalam apa-apa bidang yang diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) / Lembaga Akreditasi Negara (LAN).

Nak daftar exam pun ada syarat-syarat…?

Ya, bukan senang hendak menjadi seorang SHO. Kerjaya ini memang memerlukan kemahiran dan kelayakan yang sesuai dengan kehendak industri.

Pihak NIOSH juga perlu memastikan setiap SHO yang terhasil dari program ini mestilah berkualiti dan dapat memberikan impak positif kepada setiap industri di dalam negara kita. 


5. Berapa harga yuran yang perlu dilaburkan?

Yes, anda perlu laburkan sedikit wang untuk menduduki Peperiksaan SHO. Ini adalah harga yuran yang anda perlu laburkan:

yuran peperiksaan SHO terkini
Sumber: NIOSH

Nota Penting:

Harga yuran ini telah dikemaskini mengikut tarikh posting ini ditulis. Anda dinasihatkan untuk menyemak sendiri dengan pihak NIOSH untuk harga yuran yang terkini bagi mengelakkan sebarang kekeliruan maklumat.


6. Bagaimana dengan bentuk format setiap kertas peperiksaan?

Anda wajib tahu dan fahamkan setiap format kertas peperiksaan SHO

Saya pasti perkara ini juga telah dibincangkan di dalam kursus SHO oleh pelatih-pelatih. Namun, tidak salah untuk saya kongsikan maklumat ini supaya dapat memberi sedikit penambah pengetahuan dan rujukan pada anda.

Walau bagaimanapun,

untuk menjelaskan secara terperinci berkenaan dengan format setiap kertas, saya tidak akan kongsikannya di sini kerana ia akan memanjangkan lagi posting ini dan tidak spesifik kepada topik yang ingin saya sampaikan.

Sebaliknya, saya akan tulis di dalam posting yang lain dan memudahkan anda untuk membuat rujukan terus.

Silakan ke posting saya; “4 Kertas Peperiksaan SHO Yang Anda Perlu Ambil Setelah Selesai Kursus” untuk ketahui lebih lanjut.


7. Bagaimana jika saya gagal dalam mana-mana kertas?

Jika anda gagal mana-mana kertas peperiksaan SHO, anda boleh mengulang (repeat) mana-mana kertas yang gagal sahaja.

Seperti yang saya beritahu di poin no. 3, anda wajib lulus dan habiskan kesemua kertas dalam tempoh 2 tahun bermula dari tarikh pertama anda menduduki peperiksaan. 

Peringatan:

Anda hanya dibenarkan untuk mengulang sebanyak 4 kali sahaja bagi setiap kertas yang gagal. Jika anda gagal juga untuk kali yang ke-5, anda perlu mengulang semula kursus SHO  dan mendaftar semula untuk menduduki peperiksaan seperti orang baru.

Setelah lulus kesemua kertas peperiksaan SHO, anda akan memperolehi sijil lulus peperiksaan SHO yang dianugerahkan oleh pihak NIOSH.

Sijil inilah yang penting bagi anda untuk digunakan semasa mendaftarkan diri sebagai orang yang kompeten SHO nanti.


Secara kesimpulan:

Peperiksaan SHO adalah berbeza berbading dengan peperiksaan yang lain terutama sekali dari segi formatnya.

Jika anda sudah nekad untuk menceburi bidang SHO, anda pasti akan melalui fasa ini. Jadi, pastikan anda buat persediaan sebaiknya dan fahamkan setiap perkara tentang peperiksaan SHO.

Kepada anda yang bakal mengambil peperiksaan SHO, saya mengucapkan selamat maju jaya dan semoga dipermudahkan urusan anda untuk menjawab semua soalan dengan tenang.

Sumber rujukan: Format dan syarat peperiksaan SHO, NIOSH
Kredit Foto : Stockvault oleh Geoffrey Whiteway  

Shahrul Reza

Seorang Safety and Health Professional yang ingin berkongsi sedikit sebanyak ilmu pengetahuan tentang OSH, motivasi diri dan buah fikiran yang boleh memberi manfaat kepada semua pembaca.

View all posts by Shahrul Reza →

63 thoughts on “7 Perkara Yang Anda Perlu Tahu Tentang Peperiksaan Safety and Health Officer (SHO)

  1. Salam,
    Bolehkah Tuan sharekan kepada saya contoh contoh soalan exam SHO, saya sangat berminat untuk mendalami bidang ini.

  2. Assalamualaikum.. saya seorang yang berminat dalam bidang SHO, bolah kha Tuan bagi saya contoh – contoh soalan exam SHO.

    1. Assalamualaikum Haqqz,

      Terima kasih luangkan masa membaca blog saya. Seperti yang saya nyatakan di dalam artikel 3 Cara dan Langkah-langkah memulakan kerjaya sebagai SHO, ada bahagian saya jelaskan bahawa pihak NIOSH telah memaklumkan yang sekiranya calon tidak mendaftar exam selepas 3 tahun mengambil kursus, kelayakan untuk menduduki exam akan terbatal dan calon perlu mengulang semula kursus.

      Maaf saya tidak update untuk posting yang awak baca menyebabkan kekeliruan. Saya akan update dalam masa terdekat.

      Harap saya menjawab persoalan Haqqz.

      Terima kasih.

  3. Kalau saya dah lulus keempat-empat paper SHO, apakah tindakan seterusnya? dari segi pendaftaran dalam DOSH dan seterusnya.

    1. Assalam Aina, Terima kasih luangkan masa membaca blog saya. Kalau sudah lulus keempat-empat paper SHO, next step ialah untuk dapatkan OYK SHO. Tetapi sebelum boleh daftar OYK SHO, Aina kena ada pengalaman 3 tahun bekerja dalam bidang OSH terlebih dahulu.

      Kalau sudah ada pengalaman 3 tahun dalam OSH, Aina boleh terus daftar melalui portal MyKKP. Dari situ, Aina akan tahu apa yang perlu buat, dokumen apa kena hantar dan sebagainya.

      Ins Sha Allah, saya akan kongsikan cara daftar OYK SHO dalam artikel akan datang.

      Harap penerangan saya dapat menjawab persoalan Aina. Moga apa yang saya sampaikan dapat memberi manfaat.

      Terima Kasih.

  4. Assalamualaikum Tuan..

    Saya ingin bertanya, selepas tamat kursus SHO dan diberikan sijil kehadiran kursus.. Adakah saya layak untuk mohon pekerjaan dalam bidang keselamatan pekerja sementara prepare untuk duduki peperiksaan?

    Tambahan soalan.. Mohon pendapat tuan patutkah saya berkerja dahulu seblum menduduki paper 1,2,3 dan 4 untuk mendaparkan pengalaman suasana pekerjaan sebelum menduduki paper examination.

    1. Waalaikumsalam Saiful,

      Terima kasih atas pertanyaan. Tentang persoalan Saiful, awak boleh cuba mohon kerja bidang OSH dengan sijil kehadiran kursus, tetapi bergantung pada sesetengah syarikat, kadang-kadang ada yang meletakkan syarat yang lebih tinggi. Walaupun awak dah ambil exam pun ada syarikat yang mahukan kelayakkan SHO yang kompeten, untuk perkejaan ini saya tak boleh nak ulas lebih panjang, semuanya bergantung kepada rezeki & usaha awak sendiri. Tetapi jangan risau, ada sahaja syarikat yang ambil kerja walaupun dengan sijil kehadiran, awak kena rajin research. Biasanya syarikat-syarikat yang kecil.

      Untuk soalan tambahan tu, sebaiknya daftar terus ambil exam, ilmu masih fresh dan awak boleh ambil paper 1,2,3 terlebih dahulu. Untuk paper 4 pula, memang memerlukan sedikit pengalaman di tempat kerja untuk membuat laporan tetapi tiada masalah pun untuk yang tiada pengalaman. Dekat mana-mana sahaja awak boleh buat laporan untuk paper 4 walaupun belum pernah bekerja dalam bidang OSH, yang penting awak faham konsep dan confident semasa presentation.

      Ini adalah pendapat saya, semuanya bergantung kepada Saiful sendiri untuk ambil keputusan. Harap penerangan saya dapat memberi manfaat kepada Saiful.

      Terima kasih

Anda dapat sesuatu? Tinggalkan komen anda disini