April 4, 2026
5 orang Safety and Health Officer memakai PPE lengkap

3 Cara dan Langkah-Langkah Memulakan Kerjaya Sebagai Safety and Health Officer (SHO)

Anda ingin menceburi kerjaya Safety and Health Officer (SHO) tapi, anda tidak tahu bagaimana hendak bermula?

Puas dah google cara, tapi masih tak pasti yang mana satu nak ikut?

Jangan tekan butang ‘x’ / back kerana anda sekarang berada di laman blog yang tepat.  

Panduan ini saya kongsikan kepada anda yang baru hendak berjinak-jinakkan diri dalam bidang Occupational Safety and Health (OSH) atau Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP). 

Tapi sebelum itu:

Untuk menjadi seorang SHO, anda mesti mempunyai minat yang mendalam dan passion dalam bidang ini.

Jika tidak kerana kedua-dua sebab ini,

anda tidak akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai cita-cita tersebut.

Jom, set kan minda anda sekarang dan ikuti 3 cara ini untuk mulakan kerjaya anda sebagai Safety and Health Officer (SHO):

Isi Kandungan

Cara 1 : Melalui kursus sijil Safety and Health Officer (SHO)
Cara 2 : Melalui Diploma in Occupational Safety and Health (OSH)
Cara 3 : Melalui 10 tahun pengalaman dalam bidang Occupational Safety and Health (OSH)

Cara 1: Melalui kursus sijil Safety and Health Officer (SHO)

Langkah pertama setiap perjalanan SHO ialah belajar tentang asas Occupational Safety and Health (OSH).

Cara paling biasa dan popular yang dilakukan oleh ramai orang ialah dengan mengambil Kursus sijil SHO.


Langkah 1: Daftar dan ikuti Kursus Sijil SHO

Mana nak daftar kursus SHO?

Anda boleh daftar kursus SHO di mana-mana cawangan NIOSH Malaysia.

National Institute of Occupational Safety and Health (NIOSH) adalah pusat latihan yang telah diiktiraf oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (JKKP) atau bahasa Inggeris nya, Department of Occupational Safety and Health (DOSH)

Selain dari NIOSH, terdapat juga beberapa pusat latihan lain yang menawarkan kursus latihan SHO.

Antaranya:

Dan lain-lain.

Harus diingatkan juga, di luar memang banyak pusat-pusat latihan yang menawarkan kursus SHO. Ada yang menawarkan harga yang sangat tidak masuk akal murahnya!

Tetapi, 

Pastikan pusat latihan yang menawarkan kursus SHO itu diiktiraf oleh pihak DOSH

Jika tidak pasti, anda boleh dapatkan senarai lengkap pusat-pusat latihan tersebut di link ini — Senarai Pusat Latihan Kursus SHO

Secara am:

Kursus SHO mengambil masa selama 22 hari.

NIOSH menawarkan 3 jenis mod pembelajaran yang boleh dipilih, sama ada secara Full Time, Part Time atau mengikut Modul.

Pilihan mod pembelajaran ini memudahkan setiap orang, termasuk golongan sedang bekerja yang berminat untuk mengikuti kursus ini secara Part Time

Namun,

Bagi pusat-pusat latihan lain, anda boleh rujuk sendiri dengan pusat latihan tersebut.

Apa syarat kelayakan untuk mengikuti kursus SHO?

Anda yang memiliki SPM pun sudah layak untuk mengikuti kursus ini tetapi haruslah menepati syarat kelulusan minimum yang telah ditetapkan:

  • 6C — subjek Bahasa Melayu, English, Matematik
  • 8E — Sains/ Fizik/Kimia/ Biologi
  • Lulus 2 lagi subjek lain.

Bagaimana pula pada anda yang berminat dengan bidang kerjaya SHO tetapi mempunyai Diploma atau Degree dalam bidang selain dari OSH? Boleh ke anda ikuti kursus ini?

Boleh, tiada masalah! 

Semasa pendaftaran, lampirkan sahaja sijil pelajaran tertinggi anda.

Saranan saya:

Jika anda tidak pasti sama ada anda layak atau tidak…

Anda boleh hubungi terus pihak NIOSH atau pusat-pusat latihan tersebut sendiri untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut.

Berapa harga yuran kursus SHO?

Bergantung pada pusat-pusat latihan itu sendiri.

Biasanya, harga yang ditawarkan adalah dalam lingkungan RM 2,000 ++ ke RM 4000 ++  dan jumlah ini tidak termasuk dengan yuran peperiksaan (RM950).

Yuran kursus adalah standard bagi mana-mana cawangan NIOSH tetapi bagi pusat-pusat latihan lain, ianya berbeza-beza.  

Sebaiknya, anda rajin-rajinkan lah diri buat survey

Tentukan sendiri di mana anda mahu ikuti kursus ini dan bertepatan dengan bajet anda.


Langkah 2: Lulus Peperiksaan Safety and Health Officer (SHO)

Alhamdulillah,  anda telah berjaya menamatkan kursus SHO dengan jayanya. Anda akan dianugerahkan dengan Sijil kehadiran kursus SHO.

Yes, boleh lah guna sijil ini untuk mohon kerja!

Rileks… Jangan terburu-buru!

Itu baru sijil kehadiran.

Sebaiknya:  

Anda mohon untuk bekerja dan dalam masa yang sama daftarkan diri untuk menduduki peperiksaan SHO.

Kerana, ada satu paper yang memerlukan anda untuk bekerja bagi membolehkan anda lulus peperiksaan SHO.

Anda boleh daftar untuk menduduki peperiksaan SHO di NIOSH.

Peperiksaan SHO merangkumi 4 paper:

  • Paper 1 — Modul 1 & 2
  • Paper 2 — Modul 3 & 4
  • Paper 3 — Semua Modul
  • Paper 4 — Semua Modul

— Saya ada jelaskan secara terperinci tentang kesemua paper di dalam posting 7 Perkara Yang Anda Perlu Tahu Tentang Peperiksaan SHO.

Tip:

Daftar duduki peperiksaan SHO dalam masa terdekat selepas tamat sahaja kursus SHO. Ini akan memudahkan anda untuk menjawab soalan-soalan dalam Paper 1,2 dan 3 kerana ilmu SHO masih fresh di dalam kepala. Lagi cepat, lagi bagus! 

Perasan tak, saya tidak sebut pun tentang paper 4 dalam tip di atas?

Format Paper 4 berbeza dengan paper yang lain kerana:

Ia bukanlah seperti format soalan teori yang memerlukan kita menjawab di meja peperiksaan. Sebaliknya, struktur soalannya memerlukan anda untuk bekerja seperti SHO.

Tujuan utamanya adalah untuk membuat kajian keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.  

Oleh sebab itu, Paper 4 SHO ini dipanggil Workplace Assignment.

— Saya akan kupaskan lebih lanjut tentang Paper 4 SHO di posting yang akan datang.

Justeru,

Anda boleh buat pilihan sendiri yang mana anda ingin lakukan terlebih dahulu. 

Nak kerja dahulu pun boleh…

Nak duduki peperiksaan untuk paper 1-3 dahulu pun boleh,

atau

nak lakukan serentak pun boleh. Ikut kemampuan diri anda.

Untuk pengetahuan anda:

Mendaftar dan menduduki peperiksaan SHO boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja tetapi dengan syarat…

Apa syaratnya?

Anda wajib menduduki peperiksaan SHO dalam tempoh 3 Tahun selepas tarikh tamat kursus. Sekiranya anda gagal untuk menduduki peperiksaan dalam tempoh tersebut, anda terpaksa mengulang semula kursus SHO.

Ini telah dinyatakan di dalam surat makluman terkini dari pihak NIOSH.


Selain itu:

Selepas anda daftar sahaja untuk menduduki peperiksaan SHO, anda wajib habiskan dan lulus kesemua paper peperiksaan SHO dalam tempoh 2 tahun pula.

Dalam tempoh ini juga, anda dibenarkan untuk mengambil mana-mana paper mengikut kesesuaian masa anda. Tetapi, wajib dalam tempoh 2 tahun tersebut.

Sebagai contoh:

Anda mendaftar untuk menduduki peperiksaan SHO pada bulan May 2020. Anda boleh ambil Paper 1 & 2 dahulu pada bulan Ogos 2020.

 

Kemudian, anda bercadang untuk mengambil Paper 3 pada tahun hadapannya iaitu Januari 2021, kemungkinan anda belum bersedia atau disebabkan komitmen kerja.

 

Paper 4 pula anda bercadang untuk ambil pada tahun seterusnya iaitu pada bulan Mac 2022.

Ya, anda boleh buat begini, asalkan tidak melebihi tempoh 2 tahun. Tetapi pada saya, ianya agak melecehkan. Kalau boleh, lepas daftar sahaja kita habiskan dan lulus dengan cepat kesemua paper tersebut. Lagi cepat habis azab, lebih cepat anda boleh mendaftar sebagai orang yang kompeten SHO

Apa akan terjadi jika anda tidak sempat untuk habiskan atau lulus peperiksaan SHO selepas tamat tempoh 2 tahun?

Sijil kehadiran kursus SHO anda sudah lagi tidak sah dan anda terpaksa ulang semula kursus SHO. Ini kan sudah merugikan masa!

Bagaimana pula jika saya gagal dalam peperiksaan SHO?

Jika anda gagal, anda boleh ulang semula dengan mengambil paper yang gagal sahaja. 

Yang penting, tempoh ulang semula mengambil paper yang gagal adalah dalam tempoh 2 tahun itu juga dan jumlah maksimum ulangan yang anda boleh duduki semula ialah sebanyak 4 kali sahaja.

Jika anda gagal untuk yang kali ke-5 ulangan peperiksaan tersebut, sijil kehadiran kursus SHO anda akan terbatal serta-merta dan anda terpaksa mengulang semula kursus SHO.

Jadi, pandai-pandai lah anda uruskan diri.


Langkah 3 : Pengalaman bekerja dalam bidang Occupational Safety and Health selama 3 tahun

Perjalanan untuk menjadi Safety and Health Officer (SHO) yang kompeten tidak akan lengkap tanpa pengalaman 3 tahun bekerja dalam bidang Occupational Safety and Health (OSH).

Ya, anda harus bekerja 3 tahun dahulu baru lah anda boleh mohon untuk menjadi Orang Yang Kompeten (OYK) SHO

Buat masa ini, anda belum lagi boleh digelar sebagai SHO. (Biasanya digelar sebagai Pengamal OSH atau OSH Practitioner)

Ingat lagi:

Saya ada terangkan tentang mohon kerja sambil mendaftarkan diri untuk mengambil peperiksaan SHO sebelum ini di langkah 2?

Ini antara jawatan-jawatan entry-level  untuk bidang OSH yang anda boleh mohon:

  • Site Safety Supervisor
  • Safety Technical Assistant
  • Safety Promoter 

Dan lain-lain.

Setiap jawatan ini mungkin berbeza namanya mengikut industri ataupun syarikat.

Apa yang anda perlu lakukan semasa bekerja?

Anda sudah belajar, dah tahu serba sedikit pengetahuan tentang OSH. Jadi, sekarang masanya untuk anda menjalankan tugas anda seperti SHO.

Sepanjang menjalankan tugas, anda harus kumpulkan segala laporan-laporan kerja anda untuk 3 tahun pengalaman. 

Cukup sahaja 3 tahun pengalaman bekerja, sudah tiba masanya untuk anda ke langkah seterusnya.


Langkah 4: Mohon pendaftaran sebagai Safety and Health Officer (SHO)

Inilah langkah terakhir untuk melayakkan diri anda dipanggil Safety and Health Officer (SHO) yang kompeten. 

Kalau zaman otai-otai SHO dulu, orang yang kompeten SHO ialah orang yang memiliki Green Book

Tetapi, zaman digital sekarang,

Green Book sudah digantikan dengan sijil kompetensi digital yang dikeluarkan oleh pihak DOSH.

Terma Green Book masih digunapakai dalam industri sehingga kini walaupun tiada lagi Green Book fizikal.

Mulakan pendaftaran SHO anda di portal My KKP DOSH .

Anda perlu daftar akaun My KKP terlebih dahulu dan kemaskini maklumat diri sebelum membuat permohonan pendaftaran SHO.

Tapi sebelum itu:

Semasa proses pendaftaran, anda harus kumpulkan beberapa dokumen penting untuk dimuat naik kedalam sistem.

Ingat lagi saya pesan untuk kumpulkan laporan-laporan kerja anda sepanjang 3 tahun pengalaman di langkah 3?

Ini penting kerana:

Laporan-laporan ini adalah salah satu dokumen penting yang perlu dilampirkan untuk dijadikan sebagai bukti anda menjalankan tugas sebagai SHO.

Setelah selesai melengkapkan proses pendaftaran, anda hanya perlu tunggu sahaja maklum balas dari pihak DOSH tentang status permohonan anda.

Biasanya, proses ini mengambil masa lebih kurang 4 – 6 minggu bergantung kepada pegawai yang menguruskan permohonan anda. 

Part yang ini, anda harus bersabar:

Memang proses ini mengambil masa sedikit. Anda sudah pun berusaha hingga ke tahap ini,

selebihnya, anda perlu berdoa dan berserah kepada Allah S.W.T.   

Ada juga situasi dimana, anda akan dipanggil oleh pihak DOSH untuk proses verifikasi atau temuduga. 

Tetapi, jarang sekali saya dengar orang dipanggil untuk temuduga melalui proses permohonan ini. 

Semasa saya membuat permohonan, Alhamdulillah, mudah sahaja dan tiada temuduga.

Yang penting, dokumen-dokumen yang diperlukan itu, mesti lah lengkap, kemas dan teratur.

— Saya akan kongsikan juga maklumat tentang pemohonan pendaftaran SHO ini dengan lebih lengkap di posting yang akan datang.

Alhamdulillah, jika mudah urusannya, permohonan anda akan diluluskan dan anda akan memperoleh sijil kompetensi digital Safety and Health Officer (SHO) seperti ini:

Sijil orang yang kompeten Safety and Health Officer Shahrul Reza

Tahniah! Anda sudah layak menggelarkan diri anda sebagai SHO!


Selain dari Cara 1  di atas, anda boleh juga ikuti Cara 2 ini untuk memulakan kerjaya sebagai SHO:

Cara 2: Melalui Diploma in Occupational Safety and Health (OSH)

Anda boleh mengikuti langkah-langkah dibawah jika anda berminat untuk menyambung pelajaran anda ke peringkat IPT di dalam bidang Occupational Safety and Health (OSH):

Nota:

Kelayakkan minimum untuk mendaftarkan diri sebagai SHO bagi cara yang kedua ini adalah Diploma. Jadi saya gunakan kelulusan Diploma sebagai contoh untuk penjelasan cara ini.


Cara ini juga diguna pakai bagi yang mempunyai kelulusan peringkat Ijazah Sarjana Muda dan keatas. Jika anda mempunyai kelulusan lebih tinggi dari Diploma, anda wajib melalui proses yang sama dengan cara ini.


Langkah 1 : Daftarkan diri untuk mengikuti kursus Diploma in Occupational Safety and Health (OSH)

Mana nak daftar Kursus Diploma OSH?

Terdapat beberapa Kolej atau Universiti yang menyediakan kursus peringkat Diploma dalam OSH.

Antaranya:

Dan banyak lagi kolej yang menawarkan kursus Diploma ini.

Anda boleh pilih mana yang sesuai dengan anda, tetapi sekali lagi harus diingatkan…

Pastikan kolej yang anda pilih itu adalah diiktiraf oleh pihak JKKP atau DOSH

Anda juga boleh lihat senarai penuh di link ini. — Senarai pusat pengajian kursus OSH.

Secara am:

Kursus OSH peringkat diploma ini mengambil masa 2½ – 3 Tahun bergantung kepada kolej yang anda pilih.

Syarat kelayakan minimum ialah SPM:

  • Lulus Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris
  • 3 Kredit dalam mata pelajaran Matematik atau mana-mana subjek sains

Berapa yuran pengajian?

Saya tidak pasti tentang harga yurannya. 

Tetapi apa yang saya tahu, ianya lebih mahal dari Kursus Sijil SHO. Maklumlah, nama pun Diploma.

Namun, bergantung juga dengan kolej pilihan anda. 

Sebaiknya anda buat semakan sendiri dengan kolej-kolej yang berkaitan supaya anda boleh memperoleh maklumat yang lebih jelas.


Langkah 2 : Belajar dan lulus kursus Diploma OSH

Sudah daftarkan diri? Lakukan seperti pelajar-pelajar Diploma lain.

Belajar bersungguh-sungguh dan pastikan anda peroleh Diploma yang anda harapkan.

Tip penting:

Mana-mana kursus Diploma, pasti ada satu semester yang memerlukan anda menjalani latihan praktikal di syarikat-syarikat.

Jika anda berjaya menempatkan diri dalam mana-mana syarikat tersebut untuk latihan praktikal,

Nasihat saya, anda belajar lah bersungguh-sungguh dan tunjukkan bakat anda dalam bidang kerjaya Occupational Safety and Health (OSH).

Rajin-rajin lah bertanya dan belajar dengan senior dalam syarikat tersebut. Ins Sha Allah ramai yang sudi mencurahkan ilmu mereka kepada anda.

Ada rezeki, majikan akan serap terus dalam syarikat sebagai pekerja sepenuh masa.


Langkah 3 : Pengalaman bekerja dalam bidang Safety and Health selama 3 tahun

Langkah ini sama seperti yang diterangkan di Bahagian Cara 1. 

Beza nya, anda tidak perlu menduduki Peperiksaan SHO kerana Sijil Diploma anda itu sudah memadai. 

Anda boleh skroll ke atas untuk kembali ke Langkah 3 di dalam Bahagian Cara 1.

Ataupun anda boleh klik sahaja link ini untuk terus ke bahagian tersebut — Pergi ke Bahagian Cara 1, Langkah 3


Langkah 4: Mohon pendaftaran sebagai Safety and Health Officer (SHO) dan lulus temuduga DOSH 

Seperti di Bahagian Cara 1, Langkah 4,

Anda perlu daftar akaun anda di dalam portal My KKP DOSH terlebih dahulu.

Kemudian mohon pendaftaran SHO dengan mengemaskini maklumat-maklumat peribadi. Lampirkan juga laporan-laporan kerja sebagai bukti anda telah menjalankan tugas seperti SHO di tempat kerja.

Pastikan dokumen-dokumen yang wajib dilampirkan semasa proses permohonan adalah lengkap dan teratur.

Selepas selesai membuat permohonan:

Anda perlu tunggu sehingga mendapat maklumbalas dari pihak DOSH

Proses ini juga akan mengambil masa lebih kurang 4-6 minggu, bergantung kepada pegawai yang menyemak permohonan anda.

Berbeza dengan cara 1 iaitu melalui kursus sijil SHO,

Untuk lepasan Diploma OSH, anda perlu menghadirkan diri ke temuduga bersama DOSH setelah mendapat maklumbalas.

Saya tidak pernah melalui pengalaman temuduga ini.

Buat masa sekarang saya tiada tip untuk lulus temuduga tersebut untuk dikongsikan.

Ins Sha Allah, saya akan cuba dapatkan beberapa maklumat dari sumber-sumber yang boleh saya peroleh berkenaan dengan temuduga tersebut. Cukup maklumat, saya akan kongsikannya di dalam artikel akan datang.

Sekiranya selesai semua proses dan anda telah lulus temuduga tersebut,

Anda akan memperoleh sijil kompetensi Digital seperti yang ditunjukkan sebelum ini.

Tahniah! sekarang anda boleh menggelarkan diri anda sebagai SHO!


Bagaimana pula jika anda langsung tidak berkesempatan untuk mendaftarkan diri atau mengambil peperiksaan SHO, selepas betahun-tahun bekerja?

Jangan risau,

Anda boleh ikuti Cara 3 di bawah ini dengan menimba 10 tahun pengalaman dalam bidang Occupational Safety and Health (OSH):

Cara 3: Melalui 10 tahun pengalaman dalam bidang Occupational Safety and Health (OSH)

Biasanya, bagi Cara 3 ini, jarang dipilih oleh ramai orang kerana ia mengambil masa yang lama untuk mendaftarkan diri sebagai SHO.

Justeru,

Ia bukanlah cara yang digalakkan, kerana kebanyakkan industri sekarang memerlukan orang yang mempunyai sijil kompetensi SHO.

Peluang untuk anda pindah ke tempat kerja lain pun agak sukar jika hendak dibandingkan dengan orang yang mempunyai sijil kompetensi atau yang sudah pun lulus peperiksaan SHO.  

Apatah lagi untuk dinaikkan gaji!

Kalau ditanyakan pada saya, cara 1 adalah pilihan yang lebih mudah dan sesuai. 

Itu pun bergantung pada sesetengah orang:

Ini mungkin disebabkan oleh beberapa faktor yang menjadi kekangan untuk mendaftarkan diri. 

Contohnya, kekangan dari segi kewangan, pengurusan masa dan sebagainya. 

Apa-apa pun, cabaran yang dihadapi ataupun pilihan yang dibuat, pastikan anda berusaha juga untuk mendaftarkan diri sebagai SHO

Jika tidak, anda telah merugikan masa sahaja kerana sepanjang pengalaman anda dalam bidang OSH.

Selagi anda tidak berdaftar dengan DOSH, selagi itu anda tidak akan diiktiraf sebagai SHO.

Ikuti langkah-langkah ini sekiranya anda memilih untuk menjadi SHO dengan pengalaman kerja selama 10 tahun:


Langkah 1: Belajar bidang Occupational Safety and Health (OSH)

Sama seperti di awal artikel ini, ilmu asas tentang OSH perlu dipelajari terlebih dahulu. 

Jadi, anda wajib juga belajar dengan ikuti kursus sijil SHO di NIOSH atau pusat-pusat latihan yang menawarkan kursus SHO dan diiktiraf oleh DOSH.

Atau 

Anda boleh sambung pelajaran anda dalam Diploma OSH dengan mana-mana kolej yang diiktiraf oleh DOSH.

Maklumat bagi langkah 1 ini, anda boleh rujuk sendiri dalam setiap langkah 1 bagi Bahagian Cara 1 atau 2 sebelum ini. 


Langkah 2: Bekerja dalam bidang Occupational Safety and Health (OSH)

Setelah mendapat sijil kehadiran kursus SHO, anda perlu bekerja dalam bidang OSH selama 10 tahun.

Sepanjang anda menjalankan tugas, segala laporan atau dokumen penting perlu di simpan untuk dijadikan sebagai bukti lampiran semasa pendaftaran SHO.

Peringatan:

Jika anda memilih untuk mendaftar SHO dengan cara ini, anda harus kumpulkan segala bukti pekerjaan anda sepanjang anda bertugas iaitu selama 10 tahun. Berbanding dengan cara 1 dan 2 iaitu selama 3 tahun.

Sekarang, pastinya anda sudah tahu yang mana satu mudah untuk anda daftarkan diri sebagai SHO bukan? 


Langkah 3: Mohon pendaftaran sebagai Safety and Health Officer (SHO) dan lulus temuduga DOSH 

Bagusnya cara 3 ini ialah anda tidak perlu ambil peperiksaan SHO. Anda boleh terus mohon pendaftaran SHO setelah cukup 10 tahun pengalaman dalam bidang OSH.

Langkah ini sama seperti langkah memohon mendaftar sebagai SHO dalam Bahagian Cara 2. — Lihat Bahagian Cara 2, Langkah 4

Alhamdulillah, jika selesai semua urusan, anda akan memperoleh sijil kompetensi digital SHO.

Bezanya, ia mengambil masa yang agak panjang sedikit berbanding dengan Cara 1 ataupun 2.


Kesimpulan

Anda boleh pilih antara 3 cara ini untuk menjadi SHO yang sah. 

Mana-mana cara pun boleh, asalkan bersesuaian dengan bajet, masa dan kemudahan anda.

Anda sendiri tentukan hala tuju kehidupan dan kerjaya anda.

Sebagai nasihat tambahan: 

Pada zaman sekarang, saingan antara orang lain untuk jawatan SHO di dalam industri-industri semakin hari semakin mencabar.

Ramai orang sudah celik mata dalam kerjaya sebagai SHO. Menjadikan bidang kerjaya ini semakin kompetitif.

Oleh itu,

Anda harus berusaha lebih gigih untuk memperoleh tempat dalam industri sebagai Safety and Health Officer (SHO).

Jangan risau jika anda gagal pada permulaan.

Yang penting, anda perlu sentiasa berusaha dan berdoa semoga dipermudahkan segala urusan anda untuk menjadi seorang SHO yang hebat dan berjaya.

Semoga perkongsian ini dapat memberi manfaat dan inspirasi kepada anda dan… 

Selamat maju jaya dalam memulakan kerjaya anda sebagai Safety and Health Officer (SHO)!

Shahrul Reza

Seorang Safety and Health Professional yang ingin berkongsi sedikit sebanyak ilmu pengetahuan tentang OSH, motivasi diri dan buah fikiran yang boleh memberi manfaat kepada semua pembaca.

View all posts by Shahrul Reza →

122 thoughts on “3 Cara dan Langkah-Langkah Memulakan Kerjaya Sebagai Safety and Health Officer (SHO)

  1. Assalamualaikum saya pelajar lepasan spm dan saya nak sangat belajar safety and health ni tapi saya gagal math dan sains saya pulak D.saya nk sambung stpm kalau dpt tpi blh ke guna sijil stpm utk sambung safety and health dkt uni nnti?

    1. Waalaikumsalam Nur Syafieqah,

      Terima kasih luangkan masa baca blog saya. Tentang persoalan awak “Boleh ke guna sijil STPM untuk sambung Safety & Health dekat Uni?”. Jawapannya boleh dengan syarat, awak kena tengok syarat kelayakan untuk daftar kursus OSH di uni nanti. Pastikan apa syarat kelayakan minimum. Awak boleh semak syarat kelayakkan ini di mana-mana Universiti yang menawarkan kursus OSH.

      Harap penerangan saya dapat memberi manfaat pada Syafieqa. Saya doakan moga dipermudahkan urusan awak untuk menjadi SHO satu hari nanti dan selamat maju jaya dalam perjalanan hidup awak.

      Terima Kasih

  2. Assalamualaikum, bolehkah saya tahu carta alir status permohonan dalam mykkp untuk oyksho? Apakah maksud status kelulusan pengarah?

    1. Assalamualaikum Mohd,

      Terima kasih luangkan masa membaca blog saya. Mohd boleh rujuk Carta Alir atau panduan permohonan OYKSHO MYKKP dalam link ini (Pendaftaran Pegawai Keselamatan & Kesihatan).

      Maksud status kelulusan pengarah ialah, apa sahaja permohonan tuan kepada pihak JKKP perlu melalui proses kelulusan Ketua Pengarah JKKP.

      Saya bukan pegawai JKKP jadi saya jawab berdasarkan pengetahuan saya setakat yang saya faham. Harap saya dapat menjawab persoalan Mohd.

      Terima Kasih.

    1. Assalamualaikum Wan,

      Terima kasih luangkan masa membaca blog saya. Untuk memohon kursus SHO ada syarat kelayakkan minimum bagi yang menggunakan sijil SPM (Saya ada terangkan di dalam artikel ini). Sekiranya gagal, maaf memang tiada cara lain untuk memohon masuk melainkan Wan usaha untuk repeat SPM kembali.

      Tetapi, sebelum itu, sedikit pesanan.. gagal SPM bukan bermakna awak gagal dalam kehidupan. Kita kena sentiasa ada sikap untuk sentiasa berusaha menjadi yang lebih baik. Rezeki itu luas dan pelbagai, setiap kegagalan itu ada banyak pengajaran yang menjadikan diri kita lebih matang.

      Semoga dipermudahkan segala urusan Wan dan Ins Sha Allah, saya doakan moga dimurahkan rezeki untuk Wan di masa akan datang.

      Terima Kasih.

  3. Salam tuan, saya zainab. Saya baca tuan punya explaination sbb saya ada daftar utk join course bulan jun nnti. Jadi saya buat survey sikit sikit, saya nak kepastian samada betul ke tak fahaman saya tentang apa yang tuan tulis. Kot kot saya salah faham apa yg tuan maksudkan.

    Ini apa yang saya andaikan diri saya dlm penulisan tuan ini. Mohon pencerahan samada saya faham ke tidak apa yg tuan sampaikan 😅

    Firts daftar join course, lepas habis kursus akan dpt sijil kehadiran. Then daftar exam, after lulus exam paper 1-3 . Saya kena cari kerja dlm bidang osh.

    After berjaya dpt kerja, dlm masa sama saya apply utk exam paper 4 ya? So tak perlu tunggu 3 tahun kerja baru apply exam paper 4 la kan? Pengalaman kerja 3 tahun tu untuk daftar OYK. Betul kan tuan?

    Maknanya dlm masa 3 tahun saya cari pengalaman kerja dlm bidang osh tu, saya boleh apply exam paper 4 tu bila bila masa sahaja ya?

    Terima kasih tuan.

    1. Wasalam Zainab,

      Terima kasih luangkan masa membaca blog saya. Jangan confius2 ya… apa yang saya tulis tu, adalah berdasarkan satu senario sahaja. Banyak lagi senario untuk daftar OYK SHO ni. Ok untuk mudah faham awak boleh ikut step ni.

      • Langkah 1 – Daftar Kursus
      •  

      • Langkah 2 – Daftar & ambil exam. Part ni, awak nak ambil kesemua paper sekali gus pun boleh. Dengan syarat, awak faham cara nak buat report & HIRARC untuk paper 4. Saya terangkan dalam penulisan saya tu, kalau masih tak ada pekerjaan. Memang betul-betul fresh dalam dunia industri atau pekerjaan. Kalau dah ada kerja, walau jawatan bukan safety pun, boleh juga buat WPA dekat tempat kita bekerja.
      •  

      • Langkah 3 – Lepas lulus semua exam, kena kerja selama 3 tahun sebagai Safety Practitioner. 3 tahun ni syarat wajib untuk daftar OYK, jadi part ni awak kena memegang jawatan sebagai Safety Personnel dekat mana-mana syarikat. Tak kisah jawatan kecil ke, janji mesti pegang jawatan Safety Personnel. Sebab yang 3 tahun pengalaman ni mesti dalam bidang Safety.
      •  

      • Langkah 4 – Lepas cukup 3 tahun, kumpul dokumen, daftar OYK SHO melalui MyKKP. Lepas tu tunggu sahaja pegawai luluskan.
      •  

      Jadi, tak perlu tunggu 3 tahun kerja sebagai safety nak jawab paper 4. Paper 4 tu bila-bila sahaja boleh jawab. Yang penting kita boleh faham konsep dan masa sesi oral tu, awak boleh jawab apa yang ditanya oleh pemeriksa.

      Harap penjelasan saya dapat memberikan kefahaman pada Zainab. Kalau perlu lagi pencerahan, boleh hubungi saya melalui Facebook Page atau instagram page saya.

      Ins Sha Allah saya akan cuba bantu jelaskan.

      Terima Kasih.

  4. Assalamualaikum tuan, saya berumur 25 merupakan lepasan sarjana muda kejuruteraan awam. seakrang saya sedang bekerja sebagai protege pembantu jurutera. rakan protege saya dalam bidang safety kata, saya boleh skip SSS (site safety supervisor) dan terus kepada SHO sebab saya ada degree civil engineering. soalan saya, betulke benda tu sebab saya tak berapa jelas bila kawan saya cakap mcm tu?..mohon tuan bagi penjelasan adakah benar ada kelebihan utk pelajar lepasan degree kejuruteraan awam

    1. Waalaikumsalam Hazman,

      Terima kasih atas pertanyaan Hazman. Berkenaan dengan soalan Hazman sama ada kenyataan kawan awak itu betul atau tidak, jawapannya betul tetapi kurang tepat. Untuk menjadi SHO, boleh direct ambil kursus sahaja. Syarat minimum ada saya nyatakan dalam artikel ini. Kalau Hazman sudah ada degree, memang dah melepasi syarat minimum untuk ambil kursus SHO. Jadi tak perlu ambil SSS lagi…

      Kalau nak dikatakan ada kelebihan tu, boleh jadi juga, tetapi bagi saya asalkan lepas syarat minimum pun sudah cukup. Ada yang tidak ada degree pun boleh ambil kursus SHO dan boleh daftar sebagai SHO.

      Harap penjelasan saya menjawab persoalan Hazman.

      Terima Kasih.

  5. asalmualaikum saya , pelajar sijil seni bina , bolehkah kalau saya masuk bidang safety (SHO/SSS) dan dimanakah tempat yang sesuai untuk saya pergi belajar

    1. Assalamualaikum Luqman,

      Terima kasih kerana sudi luangkan masa membaca blog saya. Tentang persoalan awak sama ada boleh masuk bidang safety atau tidak.. Jawapannya YA awak boleh sahaja join bidang safety ni. Asalkan menepati syarat-syarat kelayakkan untuk mendaftar kursus. Di mana tempat awak nak belajar? Dalam artikel ini juga saya ada terangkan di mana awak boleh belajar ilmu safety, lihat bahagian daftar menghadiri kursus SHO. Di bahagian tersebut ada saya nyatakan institusi-institusi atau pusat-pusat latihan yang menyediakan kursus safety. Harap saya dapat menjawab persoalan Luqman.

      Terima Kasih.

      1. Assalamualaikum salam sihat, boleh saya dapatkan nombor telefon encik? Sebab ada la skit soalan yang saya nak ajukan.. (01160968429)no. Saya encik🙏

        1. Waalaikumsalam Dany,

          Terima kasih luangkan masa membaca blog saya. Maaf, no. telefon saya privasikan untuk hubungan terdekat saya sahaja.

          Sekiranya awak nak berkomunikasi dengan saya, awak boleh PM saya di Facebook messenger atau di Instagram. Klik mana-mana link untuk berkomunikasi dengan saya:

          Facebook: Shahrul Reza
          Instagram: Shahrul Reza

          Ins Sha Allah, saya akan respond di situ.

          Terima kasih. 🙂

Anda dapat sesuatu? Tinggalkan komen anda disini