December 12, 2024
Seorang Safety and Health Officer sedang menjalankan tugas

9 Tugas Wajib Safety and Health Officer (SHO) Yang Anda Perlu Tahu

Anda pasti tertanya-tanya kan, apa tugas-tugas yang perlu dilakukan oleh seorang Safety and Health Officer (SHO)?

Tugas sebagai SHO ini, tidak lah semudah yang disangka.

Namun, dengan minat yang mendalam serta passion dalam bidang ini, tidak mustahil untuk anda harungi segala cabaran sepanjang menjalankan tugas sebagai SHO.

Dalam artikel ini, saya akan kupaskan sedikit sebanyak tentang tugas-tugas wajib Safety and Health Officer (SHO) yang perlu anda tahu. 

Supaya, anda boleh agak kerja apa yang anda akan hadapi jika anda ingin memulakan kerjaya anda sebagai SHO suatu hari nanti.

Mengikut Akta Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan (Akta 514), didalam Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pegawai Keselamatan dan Kesihatan) 1997 – Peraturan 18.  

Seorang Safety and Health Officer (SHO) wajib menjalankan tugas:


1. Menjadi penasihat kepada majikan dan pekerja 

“Untuk menasihati majikan atau mana-mana orang yang bertanggungjawab bagi suatu tempat kerja mengenai langkah-langkah yang perlu diambil bagi kepentingan keselamatan dan kesihatan orang-orang yang diambil kerja di tempat kerja.”

Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pegawai Keselamatan dan Kesihatan) 1997 – Peraturan 18(a)

Anda perlu jelas disini,

Tugas sebagai SHO adalah memberi NASIHAT bukan memberi arahan atau enforcement.  

Dalam menasihati majikan atau pekerja, tiada paksaan boleh berlaku. Anda memberi nasihat, keputusan untuk terima atau tidak, semua bergantung kepada mereka sendiri. 

Apa yang anda perlu nasihatkan?

Seperti yang diterangkan dalam peraturan.

Semua tentang langkah-langkah yang perlu diambil untuk memastikan keadaan keselamatan dan kesihatan tempat kerja adalah terkawal.

Yang paling penting dan perlu diutamakan ialah…

Mencegah sebarang kemalangan daripada berlaku sepanjang syarikat beroperasi.


2. Membuat pemeriksaan di tempat kerja

“Untuk memeriksa tempat kerja untuk menentukan sama ada apa-apa jentera, loji, peralatan,bahan, perkakas atau proses atau apa-apa jenis kerja kasar yang digunakan di tempat kerja, yang boleh menyebabkan kecederaan anggota ke atas mana-mana orang yang bekerja di tempat kerja.”

Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pegawai Keselamatan dan Kesihatan) 1997 – Peraturan 18(b)

Ini straightforward sahaja.

Apa jenis mesin, peralatan, dan semua yang tersenarai di dalam akta, semua perlu buat pemeriksaan atau inspection. Dalam erti kata mudah, apa sahaja berkaitan yang ada di tempat operasi syarikat anda, perlu diperiksa. 

Tujuannya, untuk memastikan semuanya berfungsi dalam keadaan baik dalam selamat.

Macam mana kalau satu tempat kerja ada macam-macam jenis mesin atau peralatan? 

Bayangkan:

Tempat kerja anda ada 3 buah forklift, 20 set mesin pemotong besi, 2 buah kren dan 30 buah lori dan bermacam-macam lagi peralatan atau perkakasan.

Kalau buat inspection ni semua, mahu tercabut kaki! Bila masa pula nak rehat atau nak buat tugasan yang lain?

Rileks, ini caranya:

Jangan jadi super hero untuk lakukan semua tugasan dengan sendiri.

Kita pun manusia juga. Bila jadi SHO, kita kena bijak gunakan sumber-sumber yang ada dengan sekeliling kita. 

Sebagai contoh sumber manusia. 

Anda boleh bekerjasama dengan supervisor di setiap bahagian tempat kerja. 

Mereka boleh arahkan anak buah untuk lakukan pemeriksaan peralatan atau perkakasan tersebut.

Lagipun, peralatan atau perkakasan tersebut mereka juga yang nak guna.

Tanggungjawab mereka juga untuk memastikan kesemuanya berada dalam keadaan baik dan selamat untuk digunakan.

Bagi memudahkan lagi kerja mereka untuk buat inspection. 

Sediakan checklist untuk setiap mesin, peralatan atau perkakasan yang ada.

Checklist ini juga boleh dijadikan sebagai bukti yang inspection telah pun dilaksanakan. 


3. Menyiasat kemalangan di tempat kerja

“Untuk menyiasat apa-apa kemalangan, kemalangan nyaris, kejadian berbahaya, keracunan pekerjaan atau penyakit pekerjaan yang berlaku di tempat kerja.”

Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pegawai Keselamatan dan Kesihatan) 1997 – Peraturan 18(c)

Tugas ini, anda hanya akan lakukan bila ada kemalangan di tempat kerja sahaja.

Bagi saya:

Ini adalah tugasan yang paling leceh.

Sebab, prosesnya kadang-kadang mengambil masa yang panjang dan agak renyah (bergantung pada insiden dan situasi) .  

Kenapa? Ini antara sebabnya:

  • Anda perlu lakukan siasatan macam detektif. Kena gali segala informasi berkenaan insiden tersebut dari tapak insiden sehingga lah ke pihak majikan.
  • Banyak paperwork seperti laporan, kenyataan pekerja dan lain-lain berkenaan yang perlu dibuat. 
  • Analisa segala maklumat sehingga dapat menghasilkan kesimpulan yang tepat.

Tetapi, jangan lah pula jadikan perkara-perkara ini melemahkan semangat anda untuk menjadi SHO.

Tugas tetap tugas,

Jika ada insiden sahaja, siasatan perlu dilakukan untuk mencari di mana kesilapan di dalam sistem operasi bekerja.

Agar insiden yang sama tidak akan berlaku lagi di masa hadapan.

The best part is:

Anda dapat pengalaman dan dapat pelajari banyak perkara semasa lakukan penyiasatan.

Usaha anda tidaklah sia-sia sebab anda dapat merungkai kekurangan yang ada dalam sistem syarikat untuk diperbaiki.


4. Anjurkan dan melaksanakan program keselamatan dan kesihatan pekerja

“Untuk membantu majikan atau jawatankuasa keselamatan dan kesihatan jika ada, menurut peraturan 11, Peraturan-peraturan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (Jawatankuasa Keselamatan Dan Kesihatan) 1996 dalam menganjurkan dan melaksanakan program keselamatan dan kesihatan  pekerja di tempat kerja.”

Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pegawai Keselamatan dan Kesihatan) 1997 – Peraturan 18(d)

Sebagai SHO anda perlu mempunyai strategi yang efisyen untuk memastikan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja berada dalam keadaan baik.

Strategi ini perlu di terjemahkan kepada bentuk dokumen atau pelan yang dikenali dengan pelbagai jenis nama mengikut industri masing-masing. 

Secara umum, ini antara contoh:

  • Safety Plan
  • Health, Safety and Environment (HSE) Plan
  • Occupational Safety and Health (OSH) Plan
  • dan lain-lain

Untuk Oil and gas, biasanya kami gunakan HSE Plan.

Pelan ini merangkumi segala program yang anda rancang untuk dilaksanakan sama ada dalam kadar tahunan, bulanan atau mingguan.

Mengikut kesesuaian dan kemampuan syarikat.

Sebagai contoh:

  • Kempen keselamatan & kesihatan pekerja
  • Latihan kecemasan atau emergency drill
  • Latihan menggunakan peralatan
  • Pemeriksaan berkala di tempat kerja 

Dan bermacam lagi program yang boleh dilaksanakan.

Tak perlu buat program yang terlalu grand sampai terpaksa membelanjakan wang syarikat yang besar.

Apa yang penting:

Anda perlu bijak dan kreatif  dalam menyusun pelan program keselamatan dan kesihatan pekerja supaya ianya dapat memberi manfaat dan nilai kepada setiap pekerja.


5. Menjadi setiausaha kepada jawatankuasa keselamatan dan kesihatan

“Untuk menjadi setiausaha kepada jawatankuasa keselamatan dan kesihatan jika ada, sebagaimana yang dinyatakan di bawah subperaturan 6(2), Peraturan-peraturan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (Jawatankuasa Keselamatan Dan Kesihatan)1996 dan melaksanakan semua fungsi setiausaha sebagaimana yang dinyatakan dalam peraturan-peraturan itu.”

Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pegawai Keselamatan dan Kesihatan) 1997 – Peraturan 18(e)

Kalau tugas awal tadi menjadi penasihat, kali ini menjadi setiausaha pula.

Banyak pula jawatan SHO ni ya?

Secara Automatik:

Jawatan setiausaha memang dipegang oleh SHO dan ini hanyalah semasa mesyuarat jawatankuasa keselamatan dan kesihatan dijalankan. 

Tugas anda:

Buat kerja setiausaha.

Anda perlu mencatat segala minit mesyuarat yang dibincangkan di dalam mesyuarat tersebut.

Kemudian, segala minit mesyuarat itu perlu dikumpulkan dan didokumenkan untuk rujukan akan datang.


6. Membantu jawatankuasa keselamatan dan kesihatan memeriksa keberkesanan langkah diambil bagi mematuhi akta dan peraturan

“Untuk membantu jawatankuasa keselamatan dan kesihatan dalam mana-mana pemeriksaan sesuatu tempat kerja bagi maksud memeriksa keberkesanan apa-apa langkah yang diambil bagi mematuhi Akta atau mana-mana peraturan yang dibuat di bawah akta.”

Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pegawai Keselamatan dan Kesihatan) 1997 – Peraturan 18(f)

Setiap apa yang dibincangkan di dalam mesyuarat jawatankuasa keselamatan dan kesihatan telah pun di minitkan.

Jadi, tugas kita sebagai Safety and Health Officer (SHO) untuk memeriksa atau memastikan setiap tindakan yang telah diamanahkan kepada orang yang bertanggungjawab itu telah dilaksanakan. 

Apa yang penting:

Walau apa pun langkah yang dilaksanakan, pastikan ianya memberi nilai kepada syarikat dan pekerja-pekerja lain.

Dalam masa yang sama, anda perlu ingat,  ianya mesti mematuhi Akta dan peraturan keselamatan dan kesihatan pekerja yang telah ditetapkan.


7. Memungut, menganalisis dan menyenggara statistik

“Untuk memungut, menganalisis dan menyenggara statistik mengenai apa-apa kemalangan, kejadian berbahaya, keracunan pekerjaan atau penyakit pekerjaan yang berlaku di tempat kerja.”

Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pegawai Keselamatan dan Kesihatan) 1997 – Peraturan 18(g)

Tugas ini jelas seperti yang diterangkan di dalam peraturan.

Sebagai SHO, anda perlu pantau dan kemaskini statistik ini.

Contoh statistik yang anda perlu kemaskini:

  • Jumlah hari tanpa kemalangan
  • Berapa banyak kemalangan kritikal telah terjadi
  • Bilangan kecederaan yang berlaku sepanjang syarikat beroperasi
  • Laporan-laporan tindakan atau keadaan tidak selamat

Dan pelbagai jenis statistik, bergantung kepada industri dan syarikat anda bekerja. 

Dengan statistik-statistik ini lah, akan menunjukkan prestasi keselamatan dan kesihatan syarikat, sama ada berada dalam keadaan baik atau kurang memuaskan.


8. Membantu mana-mana pegawai menjalankan tugas dibawah akta dan peraturan

“Untuk membantu mana-mana pegawai pada menjalankan kewajipan dibawah akta atau mana-mana peraturan yang dibuat di bawah akta.”

Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pegawai Keselamatan dan Kesihatan) 1997 – Peraturan 18(h)

Anda sebagai SHO harus sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa atau pegawai dari mana-mana badan kerajaan. 

Contohnya:

Pegawai yang biasa kita akan berurusan ialah pegawai dari Jabatan Keselamatan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) atau DOSH

Jika mereka hadir ke tapak kerja kita untuk tugasan audit.

Anda harus membantu mereka untuk mendapat kebenaran majikan.

Agar mereka dapat melaksanakan tugas wajib mereka seperti yang dinyatakan dalam akta dan peraturan.


9. Menjalankan arahan lain yang dibuat oleh majikan

“Untuk menjalankan apa-apa arahan lain yang dibuat oleh majikan atau mana-mana orang yang bertanggungjawab bagi tempat kerja atas apa-apa perkara yang berkaitan dengan keselamatan dan kesihatan tempat kerja.”

Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pegawai Keselamatan dan Kesihatan) 1997 – Peraturan 18(i)

Yang ini anda perlu faham dengan jelas.

Kerana apabila anda mulakan kerjaya sebagai SHO nanti…

Percayalah, tak semestinya anda akan menjalankan tugas hakiki yang disenaraikan di atas. 

Kadang-kadang pelbagai tugasan yang akan diberikan oleh majikan kepada anda. 

Ada yang tidak berkaitan pun dengan skop kerja sebagai SHO.

Ini antara kerja-kerja diluar skop yang pernah saya lakukan berdasarkan pengalaman saya:

  • Membuat follow-up claim pekerja yang tertunggak
  • Menguruskan pekerja tiba dari darat ke pelantar offshore

Dan bermacam-macam jenis tugas lagi. 

Nasihat saya:

Anda kena berani dan tahu kedudukan anda sebagai SHO.

Kadang-kadang kita kena bijak.

Untuk membezakan dimana skop tugas kita dan yang mana tugas itu patut dilaksanakan oleh orang yang telah dipertanggungjawabkan.

Kalau semua kita kena buat, alamatnya memang tak menang tangan lah kerja kita!


Kesimpulannya:

Yang tersenarai ini adalah tugas wajib yang anda perlu lakukan jika anda ingin menceburi bidang kerjaya Safety and Health Officer (SHO).

Segala yang saya kupas untuk setiap tugas-tugas  tersenarai adalah berdasarkan pengalaman saya sendiri.

Nampak mencabar bukan?

Rileks…

Ini bukan bermakna saya ingin mematahkan semangat anda untuk menceburi bidang ini.

Niat saya hanyalah untuk berkongsi dengan anda.

Supaya, anda semua bersedia dan boleh manfaatkan perkongsian saya ini apabila anda menjadi seorang SHO nanti. 

Percayalah, dengan segala cabaran yang anda alami…

Ia akan memberikan banyak pengajaran dan pengalaman kepada anda untuk menjadi seorang SHO yang hebat dan berjaya.

Paling penting, ganjaran yang lumayan pasti menanti anda.

Teruskan niat anda untuk menceburi bidang ini.

Saya sentiasa mendoakan kejayaan anda!

Sumber: Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pegawai Keselamatan dan Kesihatan) 1997

Shahrul Reza

Seorang Safety and Health Professional yang ingin berkongsi sedikit sebanyak ilmu pengetahuan tentang OSH, motivasi diri dan buah fikiran yang boleh memberi manfaat kepada semua pembaca.

View all posts by Shahrul Reza →

15 thoughts on “9 Tugas Wajib Safety and Health Officer (SHO) Yang Anda Perlu Tahu

  1. Assalamualaikum tuan. Adakah bidang ini lebih sesuai untuk disandang oleh kaum lelaki atau wanita juga mempunyai potensi dalam bidang ini? Terima kasih.

  2. Assalamualaikum Tuan , saya dihntar oleh syarikat saya bekerja utk mengikuti kursus , soalan saya, Adakah saya kena bawa kembali sijil spm saya untuk dilampirkan sewaktu pendaftaran ? Kerana sijil spm saya hilang tak tau ke mana.

    1. Assalamualaikum Puan Rohani, terima kasih luangkan masa membaca blog saya. Sekarang ni, ramai wanita yang menceburi bidang SHO ni. Sesuai atau tidak itu bergantung kepada anak Puan. Jika dia minat dan selesa untukl bekerja, Ins Sha Allah tiada masalah untuk anak Puan menceburi bidang SHO ini.

  3. Assalamualaikum Tuan,

    Tempat saya berkerja sekarang telah melantik saya untuk menjaga safty dikilang dan bercadang hendak menghantar saya untuk mengambil kursus tentang safty,
    untuk makluman tuan saya bekas pesara dari tentera laut dan pernah mengikuti kursus tentang keselamatan dan kesihatan semasa berkhidmat dulu dan kilang ini baru dibuka dan membuat manufacturing fabricated metal
    bolehkan tuan memberi cadangan kursus kursus yang sesuai, kursus jangka pendek dlm keselamaatan dan kesihatan,

    1. Waalaikumsalam Tuan Herdi,

      Terima kasih kerana meluangkan masa membaca blog saya. Maaf ya kerana agak lambat untuk saya respond pertanyaan tuan kerana terdapat beberapa masalah teknikal untuk saya akses website saya.
      Baiklah untuk pertanyaan tuan, selain dari kursus SHO, memandangkan tuan dalam kilang fabrication metal, saya cadangkan tuan mengambil kursus-kursus berkaitan dengan Noise Hazard, Chemical Hazard, Machinery Safety dan Ergonomics. Selain dari itu, saya cadangkan Tuan buat survey di tempat kerja tuan sendiri, apa jenis hazard berkaitan yang ada di tempat kerja tuan. Dari situ, cuba cari kursus-kursus yang berkaitan supaya dapat digunakan di tempat kerja tuan nanti.

      Harap saya menjawab persoalan tuan & moga sedikit sebanyak dapat membantu tuan.

      Terima kasih.

  4. Salam Tuan. Saya berminat bidang OSH ni. Tp sy berumur 32 tahun dan tidak bekerja skrg due to Covid-19. Previous experiences mostly in finance. Setelah baca blog tuan, saya tertarik untuk ambil sijil OSH dan completekan exam paper 1-3 seperti saranan tuan. Tuan rasa sy masih boleh ceburi bidang ini?

    1. Waalaikumsalam En. Aiman,

      Terima kasih luangkan masa membaca blog saya. Adakah saya rasa En. masih boleh ceburi bidang ini? Bagi saya, siapa-siapa pun boleh ceburi bidang ini, asalkan cukup syarat dan betul-betul ada niat nak ceburi bidang ini. Kalau ikutkan, En. akan start fresh dalam bidang ni dan tidak ada masalah jika En. ada background finance pun.

      SHO yang ada pengalaman finance pun penting sebab kadang-kadang, dalam pekerjaan.. when it comes with safety, it always involve money.. so ini pun ilmu yang advantage untuk SHO.

      Tetapi saya rasa sebenarnya persoalan En. tersebut harus ditanya pada diri sendiri dulu. Adakah sebenarnya En. betul-betul nak dan boleh ceburi bidang ini?

      Setiap apa yang kita hendak capai, kena pastikan niat kita betul, ada minat yagn mendalam dan usaha. Kalau tak nanti bila datang cabaran, kita rasa down dan tak boleh nak teruskan usaha.

      Soal rezeki dan peluang kerja, ins Sha Allah di mana-mana ada, kena sentiasa usaha dan tawakkal.

      Harap penerangan saya dapat memberikan manfaat dan inspirasi buat En. Aiman. Saya doakan moga dipermudahkan segala urusan kehidupan En. di masa akan datang.

      Terima Kasih.

  5. Assalamualaikum Tuan..

    mohon pertanyaan,

    saya berasal dari Alor Setar Kedah, tempat mana saya boleh dapatkan kursus SHO(22 hari) part time.

    Terima Kasih Tuan.

    1. Waalaikumsalam Afifi,

      Terima kasih luangkan masa membaca blog saya. Jika awak berada di Kedah, pusat latihan NIOSH yang terdekat ialah di Seberang Jaya, Pulau Pinang.
      Maklumat lanjut tentang kursus awak boleh check dengan NIOSH P.Pinang.

      Terima Kasih.

      1. Assalamualaikum tuan

        Saya nak tanya . Saya sebagai Pengurus Operator Bangunan Parking MRT . Sejak akhir² ni banyak laporan yang berkaitan dengan Fire Safety , SHE report , HIRARC report yang saya kena siapkan sedangkan saya tidak diiktiraf pun sebagai SHO atau yang ada kelulusan dalam bidang Safety, Health and Environment (SHE).

        Jadi soalan saya . Jika ada apa-apa kejadian yang berlaku di tempat kerja , siapakah yang akan dipertanggungjawabkan ?? Adakah saya yang hanya sebagai Pengurus Operator yang TIADA KELULUSAN dalam bidang itu .. ? ATAU .. Pihak majikan saya .. ?? ATAU .. Pegawai Safety yang meminta saya untuk melakukan laporan² tersebut ??

        Mohon pencerahan kerana saya sangat risau risiko yang akan datang nanti walhal saya hanya menurut arahan untuk menyiapkan laporan tersebut ..

        Terima kasih ..

        1. Waalaikumsalam Raihan,

          Terima kasih atas pertanyaan. Mengikut pengalaman saya, untuk kes awak ni, sudah tentu majikan yang perlu dipertanggungjawab sekiranya berlaku sebarang kemalangan di tempat kerja. Kerana apa-apa pun, majikan yang bertanggungjawab memastikan tempat kerja sentiasa dalam keadaan selamat termasuk pada peringkat pengurusan seperti penyediaan laporan.
          Tetapi, harus diingatkan juga, setiap kemalangan yang berlaku, perlu disiasat dengan teliti dan perlu difahami punca sebenar berlaku. Setiap kemalangan mempunyai situasi atau punca berbeza, dan bukan sahaja bergantung kepada laporan semata-mata. Banyak faktor yang terlibat.]

          Soalan saya, kenapa awak dengan rela hati menerima tugasan tersebut sedangkan setiap laporan tersebut perlu disediakan oleh pegawai safety ditempat kerja awak? Adakah ada satu arahan dari pihak majikan untuk awak buat laporan tersebut? Jika ya, adakah arahan tersebut dalam bentuk tulisan rasmi (email, surat atau Minit mesyuarat KKP) atau sekadar arahan mulut sahaja?

          Jangan risau, bagi saya, awak berada di pihak yang tidak patut dipersalahkan. Berkenaan dengan penyediaan laporan itu, minta pegawai safety anda semak semula dan fahamkan Safety and Health Regulations 1997 (Safety and Health Officer).

          Harap penerangan saya dapat membantu mencerahkan persoalan Raihan. Saya doakan semoga urusan pekerjaan awak dipermudahkan

          Terima kasih.

Anda dapat sesuatu? Tinggalkan komen anda disini